Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain
Motif utama pihak orientalis dalam memperkemaskan pergerakan mereka adalah disebabkan beberapa tujuan penting yang disedari mahupun tidak oleh umat Islam selama ini. Antara matlamat dan agenda bagi pergerakan mereka ini yang membawa kepada kemunculan dan pertumbuhan Orientalisme yang berlangsung begitu lama, secara ringkasnya sepertimana berikut:
9.1 - Tujuan Keagamaan
Perkara ini tidak dapat dinafikan lagi bahawa pergerakan orientalisme ini bermula dengan sokongan dan tajaan pihak gereja dan agamawan yang mementingkan aliran agama dalam perjuangan mereka. Situasi ‘berbahaya’ ini telah menambahkan lagi rangsangan mereka untuk mencari kelemahan terhadap ajaran Islam, setelah mereka melihat kemampuan Islam menjelajah ke pelusuk Eropah dan mampu membuatkan ramai penganut Kristian memeluk Islam itu sendiri.
Mereka bukan sahaja terpengaruh dengan toleransi yang diamalkan di dalam Islam, sebaliknya ia amat jauh terhindar dari segala keburukan penyelewengan akidah yang diseru di dalam agama mereka. Bahkan, Islam itu sendiri merupakan satu cara hidup yang memiliki segala bentuk kesempurnaan.
Para pendeta mereka begitu bimbangkan kedudukan pangkat dan kehidupan mereka akan lebih tergugat, memandangkan Islam lebih cepat tersebar di samping ia memberikan hak sama rata bagi setiap penganutnya dalam soal hukum hakam dan keadilan. Hal ini merupakan pokok utama dalam kajian mereka terhadap agama Islam untuk menimbulkan keraguan dan mewujudkan permusuhan golongan Kristian dan Islam, agar mereka berjaya untuk menjauhkan antara satu dengan yang lain.
Antara taktik jahat mereka dalam mencetuskan permusuhan di kalangan umat Kristian dengan pihak Islam ialah menimbulkan segala bentuk tohmahan yang tidak berasas terhadap Islam dan penganutnya. Mereka membuat tuduhan bahawa Islam ini tersebar dengan ‘mata pedang’, Islam mengamalkan ‘Hukum Rimba’ yang penuh dengan kekejaman seperti memotong tangan pencuri dan merotan penzina di khalayak ramai.
Mereka turut cuba menimbulkan keraguan ke atas kerasulan Muhammad dan menganggap hadis Nabi sebagai amal perbuatan umat Islam yang bukannya daripada nabi sejak tiga abad pertama ia disebarkan. Mereka sedaya upaya menimbulkan keraguan terhadap kebenaran kitab suci al-Quran dan memutar belit fakta yang terkandung di dalamnya.
Selain itu, mereka turut memperkecilkan nilai fiqh Islam dan peraturan yang terkandung di dalamnya. Selain mereka menganggapkan bahawa undang-undang Fiqh Islam itu sebagai ‘Hukum Rimba’, mereka juga menganggap ia merupakan saduran dari hukum Roman dan Yunani yang pernah diterjemah ke dalam bahasa Arab.
Mereka juga cuba untuk meminggirkan Bahasa Arab dan menjauhkannya dari ilmu pengetahuan dan teknologi yang semakin pesat berkembang. Peminggiran ini akan dapat menjauhkan umatnya memahami al-Quran dan Sunnah sebagai satu faktor utama yang dapat mengukuhkan nilai beragama di kalangan umat Islam. Pernah juga mereka memperkenalkan satu teori yang menyatakan bahawa ajaran Islam berasas kepada teori agama Yahudi dan Kristian.
Kaum Kristian mempelajari Islam sebagai satu alat untuk menjayakan program Kristianisasi mereka di negara-negara umat Islam hingga kini, selain cuba menjauhkan golongan Kristian dari mengetahui ajaran Islam yang sebenar sebagai agama fitrah yang sesuai pada setiap masa dan ketika.
Tidak cukup dengan menimbulkan segala ‘tohmahan’ ini agar kaum Kristian menghindarkan diri daripada mengetahui asas ajarannya. Mereka juga menyelitkan pelbagai keraguan di jiwa sanubari umat Islam. Sebenarnya, keraguan yang berjaya ditimbulkan di dalam dada umat Islam ini mampu untuk menjauhkan mereka daripada berpegang kepada akidah Islam yang murni, dan lebih jauh adalah kemampuan untuk memurtadkan mereka kepada agama Kristian.
Oleh yang demikian, hasil karya para orientalis terdahulu lebih bersifat fanatik dan mencetuskan semangat permusuhan di antara kedua-dua agama ini. Ini membuatkan sesetengah orientalis terkemudian turut sama mengkritik semula karya-karya lampau yang ditulis pada Zaman Pertengahan (Renaissance).
Di antara mereka yang lebih objektif ini seperti Norman Daniel di dalam bukunya yang berjudul “Islam dan Barat”.[1] Beliau menulis beberapa sebab yang mendorong kaum Kristian begitu dengki dan salah faham mereka yang begitu menebal terhadap Islam. Malahan sesetengah kaum Kristian begitu terkesan dengan kedudukan pihak Barat di Eropah sejak zaman dahulu terhadap ajaran Islam, sekalipun begitu banyak perubahan warga Barat dalam memahami Islam dan umatnya.[2] Begitu juga dengan buku tulisan Richard William Southern yang diterbitkan pada tahun 1962 telah memaparkan gambaran pihak Barat terhadap agama Islam pada Zaman Pertengahan (Renaissance)[3].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan