Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Ahad, Disember 07, 2008

8.2 - Peranan Majalah, Buletin Dan Penerbitan Artikel Kajian

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain


Dari mula lagi para orientalis berusaha menerbitkan buku-buku berkaitan hal ehwal Islam dari segala aspek seperti akidah, syariah, sejarah dan sebagainya. Mereka turut menyebarkan buku-buku ini di kalangan umat Islam yang berada di segenap dunia Islam ke era yang berikutnya hingga kini.

Dalam lapangan akidah, mereka turut membuat kajian dengan menghasilkan beberapa buah buku dalam bidang tersebut. Buku ini pernah diterbitkan oleh seorang orientalis beragama Yahudi yang berbangsa Hungary dengan judul ‘Pengajian Islam’ sebagaimana yang ditulis di dalam tafsiran pelbagai mazhab mengenai Islam.

Salah seorang orientalis bernama Duncan Black McDonald telah menulis sebuah buku bertajuk “Perkembangan Akidah Islam” yang turut dijadikan rujukan oleh segolongan umat Islam sendiri sebagai bahan ilmiah, bahkan dijadikan sebagai silibus yang diajar di beberapa buah fakulti Pengajian Islam. Manakala, seorang lagi orientalis bernama Nicholson pula telah menulis sebuah buku berjudul “Pensyariatan Islam”.

Mereka telah menerbitkan begitu banyak buku berkaitan bidang Sejarah Islam, sehingga sesetengah umat Islam sendiri menjadikan buku yang dihasilkan oleh Carl Brockelmann mengenai sejarah umat Islam sebagai rujukan utama bagi subjek Sejarah Islam. Begitu juga dengan buku dari hasil karya Bernard Lewis bertajuk “Sejarah Bangsa Arab” yang menjadi kitab rujukan terpenting dalam bidang sejarah bagi para pensyarah yang amat terkesan dengan orientalis.

Terdapat begitu banyak perbezaan di dalam penulisan para orientalis ini pada kurun pertengahan dan permulaan kebangkitan Orientalisme dengan sikap fanatik, hasad dengki, permusuhan, dendam dan kebencian terhadap Islam. Mereka memperlihatkan sikap yang begitu emosional secara terang-terangan dalam memusuhi Islam dan umatnya.

Situasi ini membuatkan sesetengah mereka muncul dengan penulisan yang agak kontra dengan mengkritik segala penulisan tersebut. Antara para orientalis ini yang bertindak sedemikian seperti Norman Daniel dalam bukunya “Islam dan Barat” dan karya Richard Southern dengan bukunya berjudul “Gambaran Islam dan Kaum Muslimin di dalam Buku-buku Kurun Pertengahan”.

Menjelang kurun ke-20, gaya penulisan kaum orientalis mengenai Islam mulai berubah corak dengan meminggirkan gaya fanatik dan sikap permusuhan lampau, antara buku yang berorientasikan kaedah ini adalah dari karya Thomas Arnold yang bertajuk “Seruan Islam”. Buku ini memaparkan sesetengah ungkapan perkataan yang ‘memuji’ Islam dan umatnya, tetapi pada hakikatnya ia begitu tersasar dengan topik yang dibicarakannya serta terseleweng dari metod ilmiah. Sebuah tesis kajian sarjana telah mengkritik buku ini dan boleh didapati di Fakulti Dakwah Universiti Madinah al-Munawwarah.[1]

Begitu juga beberapa buah buku karangan Montgomery Walt mengenai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertajuk “Muhammad di Makkah”, “Muhammad di Madinah”, “Muhammad: Pentadbir dan Ahli Politik” dan beberapa buah judul buku yang lain.

Bahagian akademik di setiap universiti di Eropah begitu aktif menerbitkan buku-buku sebegini, misalnya Universiti Oxford yang mencetak ratusan judul buku setiap tahun berkenaan dunia Islam dan pelbagai isu yang bersangkutan dengannya. Setiap universiti di Eropah dan Amerika ini juga mempunyai badan percetakan dan rangkaian pengedarannya yang tersendiri, sekalipun ia tidak sampai ke tahap menjalankan perniagaan dan percetakan buku dalam bentuk yang lebih agresif.

Bayangkan hal ini, di universiti-universiti umat Islam di negara mereka dan negara kita. Peranan badan penerbitan dan percetakan hanyalah sekadar untuk mencari nama dan mahukan potensi bagi mencapai ISO, fungsi percetakan yang begitu terhad dan badan percetakannya yang hanya berjaya menghasilkan beberapa belas buah buku setahun.

Cuba perhatikan badan penerbitan Universiti Oxford yang menghasilkan ratusan buku yang begitu penting berkaitan dengan Islam dan dunianya, seperti buku Ensiklopedia Oxford – Dunia Islam Moden. Bukunya dihasilkan dalam 4 jilid dengan halaman muka surat setebal 1,840 helaian dan di dalamnya terkandung beberapa topik penting seperti terrorisme, fundamentalis, hak asasi manusia, kedudukan wanita dalam Islam dan dunia Islam. Ensiklopedia ini juga begitu terperinci segala maklumat yang diberikannya dan boleh dipercayai berhubung isu yang ditampilkan di dalamnya.

Pencapaian ini begitu mendadak di era teknologi yang semakin pesat membangun. Buku-buku berkaitan Islam dan dunia sebelah timur, terutamanya tentang masyarakat Arab, India dan selainnya, begitu banyak dipaparkan. Melalui internet sahaja, boleh didapati di dalam syarikat Amazon.com sebagai contoh. Terdapat begitu banyak buku berkaitan ajaran Islam dan isu yang berkaitan dengannya dijual. Tulis sahaja kalimah ISLAM di dalam enjin carian, pasti akan terpapar hampir 88,331 buah buku yang mempunyai tajuk berkaitan dengannya.[2]

Majalah, jurnal dan buletin pula menjangkau beratus-ratus buah di sekitar Eropah dan Amerika yang menghidangkan sajian kisah mengenai dunia Timur Tengah. Perbincangan dari hal masyarakat Arab sejak zaman Firaun, zaman para nabi dari kalangan Bani Israel diutuskan, sebelum kedatangan Islam atau zaman jahiliyah, zaman kerasulan, zaman para khulafa dan pemerintahan monarki, hinggalah isu yang berlaku di sana mutakhir ini.

Jurnal dan majalah ini diterbitkan setiap bulan dan diedarkan kepada ahli ataupun bukan ahlinya. Segala artikel ilmiah dimuatkan di dalamnya dan menjadi tatapan umum kepada para pembaca sama ada yang mengkaji mahupun tidak, dari segala ceruk rantau dunia.

[1] Lihat tesis sarjana bertajuk Kajian Kritikan Terhadap Buku Seruan Islam Oleh Thomas Walker Arnold oleh Mahmud Hamzah ‘Azuni, pelajar sarjana Jurusan Dakwah di Akademi Pengajian Tinggi Dakwah, Madinah al-Munawwarah.
[2] Carian ini dilakukan pada Januari tahun 2008 dan berkemungkinan tajuk buku yang dinyatakan sudah wujud pertambahan di dalam senarainya.

Tiada ulasan: