Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Jumaat, Disember 05, 2008

8.1 - Pengajian Di Universiti Dan Kajian Akademik

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

SEMENJAK lapangan orientalis ini menjadi satu unsur utama dalam dunia penyelidikan yang mendapat tempat dengan ditubuhkan fakulti-fakulti pengajian yang membicarakan secara khusus mengenainya dan menjadi fokus utama sebagai bahan kaji selidik. Lalu, fakulti-fakulti ini mulai mengambil para pelajar dari segenap pelusuk negara dengan tenaga pengajarnya terdiri dari kalangan orang Eropah sendiri yang mengajarkan bidang kepakaran mereka.

Ini dijelaskan sendiri oleh Scarbrough dan Hayter yang memberitahu bahawa komponen ini begitu penting di dalam satu cawangan bagi Kementerian Imperial Britain yang masih wujud kala itu serta Kementerian Luar Negara, agensi risikan, agensi perdagangan, agensi ekonomi, agensi penerangan dan pelbagai lagi bahagian dan cawangan penting.

Para pelajar yang datang untuk melanjutkan pengajian mereka dari timur, terutamanya dari kalangan anak-anak Arab dan Islam. Mereka ini ditaja oleh agensi kerajaan, perbelanjaan sendiri ataupun mendapat biasiswa dari universiti tersebut yang sanggup menggunakan kepakaran yang ada demi melaksanakan misi rahsia mereka. Para pelajar yang terpilih ini akan digunakan dengan sebaiknya dalam menyerapkan racun di dalam minda mereka dengan sebaiknya.

Selain itu, para pelajar ini juga memberikan faedah besar di kalangan pihak universiti kerana mereka dapat ‘dipergunakan’ bagi tujuan kajian akademik yang berkemungkinan sukar bagi para penyelidik barat untuk melepasinya. Lebih-lebih lagi bagi pihak orientalis terdahulu, objektif utama mereka adalah untuk melahirkan para graduan di kalangan anak-anak orang Islam yang dapat mempengaruhi masyarakatnya, apabila mereka pulang kelak ke tanah air mereka dengan menjawat jawatan penting di dalam agensi kerajaan.

Mereka juga turut mempermudahkan teknik pembelajaran bagi melahirkan para graduan peringkat tinggi yang jelas mempunyai kecenderungan dan tahap akademik yang selaras dengan kehendak mereka dalam jangka waktu yang singkat. Hal ini amat berbeza dengan teknik universiti di sebelah timur yang ‘memayahkan’ para graduannya untuk lulus di dalam peperiksaan hingga memakan masa bertahun-tahun untuk mencapai ijazah kedoktoran.

Fakulti pengajian ini mendapat tempat yang begitu menggalakkan dengan tertubuhnya ribuan fakulti yang sama di sekitar Eropah dan Amerika. Sebaik sahaja, matlamat mereka dalam kajian ketimuran berlalu dengan beransur hilangnya istilah Orientalis ini dari fakulti pengajian mereka. Lalu, istilah tersebut ditukar namanya kepada fakulti Pengajian Timur atau Pengajian Tempatan yang diajarkan kepada para penuntut ini mengenai bahasa, etnik, budaya dan geografi kawasan tersebut.

Namun, fakulti-fakulti ini masih belum mencukupi bagi pengajian khusus mengenai dunia Islam dan Arab. Lantas mereka menambah lagi beberapa buah fakulti lain di beberapa buah universiti yang baru ditubuhkan, seperti fakulti Sains Kemasyarakatan, Sains Kemanusiaan, Sains Hayat, jurusan Ekonomi, Hal Ehwal politik dan pelbagai lagi pengajian yang dapat merealisasikan objektif tersebut.

Perkara ini dapat diperhatikan dengan kewujudan Akademi Timur Tengah sebagaimana yang terdapat di Universiti Colombia di New York, atau Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti California di bandar Berkeley, Amerika Syarikat.

Fakulti ini amat berperanan dengan keberkesanan dari silibus pengajiannya yang dapat membentuk minda pelajar dan kefahaman serta tahap penguasaan mereka terhadap isu-isu penting yang terarah kepada ajaran Islam dan kaum Muslimin. Teknik pembelajaran dan rujukan silibus ini yang diguna pakai oleh para pensyarah memberikan peranan penting dalam pengajian universiti di peringkat tinggi, terutamanya di Amerika yang mana para pelajar di peringkat master dan kedoktoran hanya diberikan kuliah yang amat terhad dalam jangka masa beberapa jam sahaja.[1]

Tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah para pelajar Arab dan Islam yang begitu terpengaruh dengan pensyarah mereka dari aspek pemikiran, akhlak dan juga tingkah laku. Oleh yang demikian. Kita dapati di dalam ilmu biografi tokoh Islam dipersoalkan mengenai guru yang mengajarnya. Hal ini amat penting bagi mengetahui guru mereka pada masa kini dari kalangan generasi baru umat Islam yang turut mengambil ilmu dari kalangan orientalis secara langsung mahupun tidak.

Sekalipun kekuatan akidah dan iman yang menjadi tunjang utama di kalangan para pelajar tersebut. Namun, terdapat juga segelintir mereka yang turut terpengaruh dengan para orientalis ini, terutama di kalangan mereka yang mencapai kecemerlangan dan kemahiran dalam jurusan yang diperolehinya. Sudah pasti wujudnya perasaan ‘terhutang budi’ kepada para pensyarah yang banyak membantu dan memberikan dorongan kepada mereka dalam mencapai matlamat pengajian tersebut.

Sedangkan di kalangan para orientalis yang menjadi pensyarah universiti itu sendiri, bukanlah orang sebarangan yang mendapat didikan dari paderi dan rahib di kalangan umat Kristian dan Yahudi. Mereka akan menggunakan segala kepakaran untuk menusukkan ‘jarum beracun’ di minda pelajarnya dengan cara yang tidak disedari mereka, sekalipun hal tersebut merupakan kekeliruan yang paling ‘halus’ dibenak pemikiran para pelajarnya.

Usaha ini ditambah lagi dengan beberapa fakulti atau cawangan universiti yang ditubuhkan di Timur Tengah dengan diajarkan subjek Pengajian Timur Tengah dan juga Pengajian Islam yang dibawa dari universiti di barat seperti Eropah dan Kanada. Diketahui bahawa pihak barat amat mengharapkan agar tertubuhnya universiti Eropah dan Amerika di negara-negara Arab dan Islam. Namun, universiti dan pusat pengajian tinggi yang wujud telah kini seperti universiti Amerika yang mempunyai beberapa cawangan seperti di kota Kaherah, Beirut, Dubai, Syariqah dan di Istanbul.

Begitu juga dengan beberapa buah negara Eropah yang lain turut melaksanakan misi yang sama, seperti negara Perancis yang telah membuka akdemi pengajiannya di beberapa buah negara Arab. Diikuti pula dengan negara Jerman dan Belanda yang berjaya membuka akademi pengajiannya di Mesir.

Hal ini disebutkan di dalam sebuah akhbar harian berbahasa Arab yang melaporkan bahawa peletakan batu asas bagi penubuhan universiti Jerman itu diberikan sumbangan dana oleh Kedutaan Jerman di Kaherah, dua buah universiti tempatan Jerman yang dibantu oleh Badan Induk Perdagangan Arab-Jerman di bidang Perniagaan dan Perindustrian.[2]

Setiap universiti dan akademi pengajian ini ditubuhkan bukanlah bertujuan untuk mengembangkan subjek lain sebenarnya. Jika diperhatikan dari sudut kajin orientalis sendiri, mereka mempunyai tujuan yang lebih utama dari mengembangkan subjek dalam jurusan kejuruteraan, kimia, perubatan, matematik dan sebagainya. Tetapi, mereka lebih mebngutamakan kajian secara menyeluruh terhadapa pengajian Islam, budaya, bahasa, sejarah, sosial, kemanusiaan, pendidikan dan juga geografi.

Bagi mereka yang belajar dengan panduan masyarakat barat, sememangnya mereka akan begitu terpengaruh dengan para pensyarah dari aspek tingkah laku, dan juga akhlak. Dari aspek yang lain bagi para pelajar di dalam jurusan pasca siswazah pula, mereka diberi pilihan untuk mengambil tajuk kajian secara khusus dengan tajuk yang mudah, tetapi berkemungkinan tajuk tersebut tidak memberi sebarang faedah dan membawa keburukan kepada pelajar dan juga setelah kepulangan mereka ke tanah air nanti.

Para pelajar ini seolah-olah ‘terkurung’ di dalam tajuk kajiannya itu, hingga ia menjadikannya terkesan kepada hayat pendidikannya selepas itu. Malahan tidak ramai yang berjaya melepaskan diri daripada ‘kurungan’ tersebut. Pensayarah yang menyelia tajuk kajian tersebut turut memilih topik dan memberikan penekanan kepada pelajar agar merentasi jalan yang diingininya.

Sebagai contoh, pelajar diberikan tugasan untuk membuat kajian tesis terhadap Kitab al-Aghani dari aspek kajian sejarah Islam bagi masyarakat Islam dekad itu. Maka kitab ini memberikan natijah yang bahaya dari satu aspek, kerana kitab tersebut yang mengandungi perkara penuh ‘kegilaan’ dan sekadar hiburan dijadikan sandaran bagi kajian sejarah suatu bangsa yang hebat di atas muka bumi selama ini.

Begitu juga dengan para pensyarah yang ‘mempergunakan’ para pelajarnya untuk mengkaji sesuatu topik yang amat dikehendaki di barat segala maklumat tersebut secara terperinci. Sedangkan mereka sendiri tidak mampu untuk sampai kepada penemuan maklumat tersebut. Lalu bertungkus lumus para pelajar ini yang dijanjikan keputusan cemerlang untuk mendapatkannya.


[1] Lihat buku Orientalis Moden Menurut Pandangan Islam oleh Dr. Mazin Mathbaqani, hlm. 58.
[2] Lihat Akhbar al-Sharq al-Awsat, (Bil. 8340) yang bertarikh 28 September 2001.

1 ulasan:

Unknown berkata...

perkongsian yang sangat baik, dan saya harap ada detail mengenai sekolah-sekolah dan universiti-universiti yang melahirkan orientalis