Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Selasa, Januari 27, 2009

9.3. Matlamat Orientalis - Tujuan Ekonomi Perdagangan


Oleh - Mohd Fikri Bin Che Hussain


Ketika bermulanya Zaman Kebangkitan atau dikenali juga sebagai Revolusi Perindustrian di Eropah, mereka amat memerlukan kepada bahan mentah sebagai satu keperluan dalam menampung pembangunan industrinya. Selain itu, mereka juga memerlukan pasaran-pasaran baru bagi barangan yang telah dihasilkan dan tapak-tapak yang menjadi sumber utama bahan mentah yang menjadi keperluan mereka, di samping menjual semula hasil dagangan tersebut di pasaran yang lebih terbuka.

Oleh itu, pusat utama yang mempunyai bahan mentah dan pasaran dagangan mereka itu adalah blok negara Timur yang terdiri dari kalangan negara-negara Islam di benua Afrika dan Asia. Bagi menggerakkan pelan perindustrian dagangan mereka dengan lebih pantas, mereka terpaksa menjalankan kajian terhadap negara-negara tersebut dengan penyelidikan ilmiah dari sudut geografi, aspek sosio-ekonomi masyarakat setempat, aspek bahasa, kebudayaan dan sebagainya.

Tujuan penguasaan ekonomi yang dilaksanakan oleh pihak orientalis merupakan salah satu objektif utama dan berfungsi sebagai satu poin penting bagi meneruskan kajian dan penyelidikan tentang Dunia Ketimuran. Kilang industri mereka terus menerus mengeluarkan produk yang melebihi tahap pasaran tempatan sepertimana mereka juga amat memerlukan kepada bahan mentah yang terdapat di persekitaran dunia Islam.

Dengan demikian, sesetengah institusi kewangan Eropah seperti Bank Swiss dan sebagainya telah mengeluarkan pelan kewangan bulanan yang pada zahirnya menampakkan pelan kewangan bagi membangunkan ekonomi. Tetapi, hakikat yang sebenarnya ia merupakan kajian penyelidikan orientalis secara total dari pelbagai aspek yang terkandung di dalamnya.

Di samping institusi-institusi kewangan di Eropah yang melaksanakan pelan ini, pelbagai industri-industri mega mula dilaksanakan dengan lebih pesat dan pihak pemerintah sendiri telah mengeluarkan banyak modal untuk kajian-kajian bagi mengenalpasti keadaan negara-negara Islam dengan lebih mendalam. Kajian tersebut sangat digalakkan terutamanya pada masa penjajahan Barat sekitar abad ke-19 dan 20.

9.2 Matlamat Orientalis - Keilmuan


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain



9.2. Tujuan Keilmuan

Eropah tidak akan mampu bangkit seperti sekarang, jika mereka sendiri tidak mengkaji ketamadunan dan kemajuan umat Islam secara terperinci. Para sarjana Barat berpendapat, “Apabila Barat ingin mencetuskan kebangkitan tamadun dan keilmuan mereka, sewajarnya mereka mengkaji kepada ‘asas ilmu’ yang perlu dipelajari dari segala aspek seperti bahasa, kesusasteraan dan ketamadunannya.”[1]

Asas ilmu yang dimaksudkan di sini adalah Islam dan umatnya. Apabila kita merujuk kepada buku-buku yang mana sebahagian besarnya adalah buku yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah. Kita pasti akan mengetahui hakikat sebenar daripada kepentingan tujuan keilmuan ini di kalangan orientalis Barat ialah mereka tidak akan meninggalkan sebuah karya yang telah ditulis oleh ulama Islam begitu sahaja. Kesemua buku tersebut akan dibaca dan dikaji sedalam-dalamnya, lantas diterjemah dan disebarkan ke tengah-tengah masyarakat mereka.

Oleh itu, Rudi Paret (1901-1983) di dalam bukunya yang berjudul ‘Pengajian Arab Islam’ membayangkan bahawa kemampuan untuk membuatkan umat Islam bangkit semula pada dekad ini adalah dengan mempelajari mengenai keilmuan Barat yang dikenali sebagai Occidentalisme (Istighrab). Justeru itu, kaum Muslimin juga perlu merangsang kebangkitan mereka dengan mendalami persediaan dalam kepelbagaian bentuk keilmuan sepertimana yang pernah dilakukan oleh pihak Barat terhadap dunia Islam sejak berkurun lampau. Mereka melakukan kajian, penyelidikan ilmiah, perubahan politik dan pembangunan ekonomi yang lebih saksama dan menyeluruh.

Namun, sebahagian orientalis ada yang mengarahkan kajian dan analisanya semata-mata untuk menambah ilmu dan pengetahuan. Sebahagian mereka ada yang memahami asas-asas dan roh Islam yang terdapat di dalam medan lapangan yang menjadi teras kajian mereka. Malahan ada juga yang turut menganut Islam seperti Sir Thomas Arnold (1864-1930) yang berperanan besar dalam menyedarkan kaum Muslimin dengan bukunya yang bertajuk ‘Nasihat Dalam Islam’.

Begitu juga dengan Etienne Dinet (1861-1929) yang telah memeluk Islam dan menamakan dirinya dengan nama Nasiruddin. Selepas itu beliau bertekad untuk menetap di Algeria. Beliau telah menulis karyanya di dalam bahasa Perancis antara lain berjudul ‘Mahomet’ di lapangan sirah Nabi. Penyediaan buku tersebut turut dibantu oleh ulama Algeria, Syeikh Sulaiman Ibrahim dan dicetak di dalam bahasa Perancis dan Inggeris. Buku tersebut juga dipenuhi dengan gambar berwarna-warni dari lukisan tangan beliau yang terkenal.

Selain itu juga, beliau turut mengarang buku di dalam bahasa Perancis berjudul ‘Kehidupan Arab’, ‘Kehidupan di Padang Pasir’ dan ‘Sinar Khusus Cahaya Islam’ yang dicetak dan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Sebuah karya lain yang turut terkenal, berjudul ‘Timur Dari Pandangan Warga Barat’ telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh sebuah badan penerbitan yang diketuai oleh Umar al-Fakhuri.

Usaha yang dijalankan oleh orientalis lain, sebagai contoh di bidang hadis yang paling terkenal adalah Ensiklopedia Hadis atau al-Mu’jam al-Mufahras li Alfazh al-Hadits al-Nabawiy yang merupakan hasil usaha sejumlah orientalis yang diketuai oleh A.J. Wensinck. Ensiklopedia ini boleh dinilai sebagai hasil karya yang hebat dan dapat juga dikatakan hanya sebuah karya biasa, bergantung kepada siapa penilainya.

Bagi seorang yang baru ‘berjinak-jinak’ di bidang hadis, karya ini sudah cukup baik dan boleh dikagumi kerana disusun secara sistematik untuk memudahkan pengkaji atau mereka yang mencari sesebuah hadits dari sembilan buah kitab hadis utama iaitu Sahih al-Bukhari, Muslim, Sunan Abu Dawud, al-Tarmizi, al-Nasaii, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad, al-Muwattha` Imam Malik dan Sunan al-Darimi.

Tetapi bagi para pengkaji yang sudah lama bergelut di bidang hadis, mereka tidak merasa begitu tergugat dengan karya seperti ini. Ini kerana, karya seperti ini dalam topik susunan indeks hadis telah berabad-abad dahulu lagi sudah disusun oleh ahli Hadis. Di antara kitab yang boleh disesuaikan sebagai sebuah ensiklopedia yang cukup terkenal ialah kitab Jami’ al-Usul karya Ibn al-Atsir. Begitu juga sebuah karya hebat berjudul Tuhfat al-Asyraf karangan al-Hafizh al-Mizzi.

Kitab Tuhfat al-Asyraf berlandaskan indeks hadis karya al-Mizzi ini disusun berdasarkan urutan periwayat hadis dari kalangan sahabat dan tabiin, bukannya mengikut turutan abjad sepertimana metod ensiklopedia yang dihasilkan oleh orientalis tadi. Seterusnya pada akhir tahun 80-an pula, muncul ensiklopedia hadis yang baru dengan tajuk Mausu’at Athraf al-Hadits setebal 12 jilid dari karya peribadi Abu Hajar Basyuni Zaghlul, seorang pengkaji di bidang hadis dari Mesir.

Keistimewaan ensiklopedia ini dengan mengumpulkan ribuan hadis dari 150 sumber rujukan dari hadis klasik dan moden dengan meletakkan awal setiap hadis dengan turutan abjad. Setiap orang yang mengetahui awal dari sesebuah hadis akan dapat menemui teks hadis secara lengkap beserta kitab yang menjadi sumber hadis tersebut.

Sepertimana yang diketahui oleh kebanyakan para pengkaji hadis, bahawa orientalis yang bertungkus lumus menyiapkan ensiklopedia itu tidak terlepas daripada mendapatkan bantuan para ahli hadis dari kalangan kaum Muslimin, khususnya Syeikh Muhammad Fuad bin ‘Abd al-Baqi, pakar hadis terkemuka dari Mesir. Hal ini diakui sendiri oleh A.J. Wensinck dalam mukadimah ensiklopedia tersebut, betapa mereka mengalami kesulitan tanpa bantuan dan keahlian Syeikh Muhammad Fuad.

Selain itu, masalah percetakan karya tersebut juga mengalami kesulitan jika tanpa bantuan seorang ahli percetakan kitab-kitab Arab dari India. Ini kerana, ketika karya itu dihantar ke India untuk dicetak di sebuah badan penerbitan Islam di India, ‘Abd al-Samad Syaraf al-Din yang menjadi pengarah penerbitan itu telah menemui banyak kesalahan di dalamnya. Hal ini amat memerlukan kepakarannya untuk memperbaiki kesilapan dan kesalahn tersebut. Tegasnya, ensiklopedia hadis karya orientalis ini sukar dibayangkan bagi proses penerbitannya seperti yang wujud sekarang tanpa jerih payah kaum Muslimin sendiri. Tetapi yang mendapat jolokan dan kemasyhuran adalah orientalisnya.

Begitupun karya tersebut tidaklah luput dari kesalahan ilmiah seperti yang dibayangkan oleh sebahagian ahli hadis sendiri. Ternyata setelah diteliti secara saksama oleh para sarjana Islam, mereka menemui banyak kesalahan di dalam karya sebesar itu. Sebagai contohnya, Dr. Sa’ad al-Marshafi dari Kuwait yang menyemak semula setiap kesalahan itu telah mencatatkan di dalam bukunya berjudul Adhwa` ‘ala Akhtha` al-Mustasyriqin. Kesalahan itu menjangkau 479 tempat secara khusus berkaitan dengan kitab Sahih Muslim sahaja.

Hal tersebut diungkapkan bukan bertujuan untuk mengingkari sumbangan orientalis pada khazanah ilmu Hadis Islam. Tetapi apa yang harus diakui seperti ditegaskan oleh Syeikh Ahmad Syakir, seorang Ulama terkemuka dari Mesir dalam Muqaddimah Sunan al-Tarmizi menjelaskan bahawa perlu diletakkan sesuatu itu seimbang dengan kedudukannya, tidak melampau dan tidak pula menguranginya. Karya mereka itu belumlah 'seberapa' bila hendak dibandingkan dengan karya-karya ulama Islam yang melimpah ruah.


[1] Lihat buku Richard Southern, Western Views of Islam in the Middle Ages. Cambridge, 1962., hlm. 36.