Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Selasa, Disember 30, 2008

9.1. Matlamat Orientalis - Keagamaan


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain


Motif utama pihak orientalis dalam memperkemaskan pergerakan mereka adalah disebabkan beberapa tujuan penting yang disedari mahupun tidak oleh umat Islam selama ini. Antara matlamat dan agenda bagi pergerakan mereka ini yang membawa kepada kemunculan dan pertumbuhan Orientalisme yang berlangsung begitu lama, secara ringkasnya sepertimana berikut:

9.1 - Tujuan Keagamaan

Perkara ini tidak dapat dinafikan lagi bahawa pergerakan orientalisme ini bermula dengan sokongan dan tajaan pihak gereja dan agamawan yang mementingkan aliran agama dalam perjuangan mereka. Situasi ‘berbahaya’ ini telah menambahkan lagi rangsangan mereka untuk mencari kelemahan terhadap ajaran Islam, setelah mereka melihat kemampuan Islam menjelajah ke pelusuk Eropah dan mampu membuatkan ramai penganut Kristian memeluk Islam itu sendiri.

Mereka bukan sahaja terpengaruh dengan toleransi yang diamalkan di dalam Islam, sebaliknya ia amat jauh terhindar dari segala keburukan penyelewengan akidah yang diseru di dalam agama mereka. Bahkan, Islam itu sendiri merupakan satu cara hidup yang memiliki segala bentuk kesempurnaan.

Para pendeta mereka begitu bimbangkan kedudukan pangkat dan kehidupan mereka akan lebih tergugat, memandangkan Islam lebih cepat tersebar di samping ia memberikan hak sama rata bagi setiap penganutnya dalam soal hukum hakam dan keadilan. Hal ini merupakan pokok utama dalam kajian mereka terhadap agama Islam untuk menimbulkan keraguan dan mewujudkan permusuhan golongan Kristian dan Islam, agar mereka berjaya untuk menjauhkan antara satu dengan yang lain.

Antara taktik jahat mereka dalam mencetuskan permusuhan di kalangan umat Kristian dengan pihak Islam ialah menimbulkan segala bentuk tohmahan yang tidak berasas terhadap Islam dan penganutnya. Mereka membuat tuduhan bahawa Islam ini tersebar dengan ‘mata pedang’, Islam mengamalkan ‘Hukum Rimba’ yang penuh dengan kekejaman seperti memotong tangan pencuri dan merotan penzina di khalayak ramai.

Mereka turut cuba menimbulkan keraguan ke atas kerasulan Muhammad dan menganggap hadis Nabi sebagai amal perbuatan umat Islam yang bukannya daripada nabi sejak tiga abad pertama ia disebarkan. Mereka sedaya upaya menimbulkan keraguan terhadap kebenaran kitab suci al-Quran dan memutar belit fakta yang terkandung di dalamnya.

Selain itu, mereka turut memperkecilkan nilai fiqh Islam dan peraturan yang terkandung di dalamnya. Selain mereka menganggapkan bahawa undang-undang Fiqh Islam itu sebagai ‘Hukum Rimba’, mereka juga menganggap ia merupakan saduran dari hukum Roman dan Yunani yang pernah diterjemah ke dalam bahasa Arab.

Mereka juga cuba untuk meminggirkan Bahasa Arab dan menjauhkannya dari ilmu pengetahuan dan teknologi yang semakin pesat berkembang. Peminggiran ini akan dapat menjauhkan umatnya memahami al-Quran dan Sunnah sebagai satu faktor utama yang dapat mengukuhkan nilai beragama di kalangan umat Islam. Pernah juga mereka memperkenalkan satu teori yang menyatakan bahawa ajaran Islam berasas kepada teori agama Yahudi dan Kristian.

Kaum Kristian mempelajari Islam sebagai satu alat untuk menjayakan program Kristianisasi mereka di negara-negara umat Islam hingga kini, selain cuba menjauhkan golongan Kristian dari mengetahui ajaran Islam yang sebenar sebagai agama fitrah yang sesuai pada setiap masa dan ketika.

Tidak cukup dengan menimbulkan segala ‘tohmahan’ ini agar kaum Kristian menghindarkan diri daripada mengetahui asas ajarannya. Mereka juga menyelitkan pelbagai keraguan di jiwa sanubari umat Islam. Sebenarnya, keraguan yang berjaya ditimbulkan di dalam dada umat Islam ini mampu untuk menjauhkan mereka daripada berpegang kepada akidah Islam yang murni, dan lebih jauh adalah kemampuan untuk memurtadkan mereka kepada agama Kristian.

Oleh yang demikian, hasil karya para orientalis terdahulu lebih bersifat fanatik dan mencetuskan semangat permusuhan di antara kedua-dua agama ini. Ini membuatkan sesetengah orientalis terkemudian turut sama mengkritik semula karya-karya lampau yang ditulis pada Zaman Pertengahan (Renaissance).

Di antara mereka yang lebih objektif ini seperti Norman Daniel di dalam bukunya yang berjudul “Islam dan Barat”.[1] Beliau menulis beberapa sebab yang mendorong kaum Kristian begitu dengki dan salah faham mereka yang begitu menebal terhadap Islam. Malahan sesetengah kaum Kristian begitu terkesan dengan kedudukan pihak Barat di Eropah sejak zaman dahulu terhadap ajaran Islam, sekalipun begitu banyak perubahan warga Barat dalam memahami Islam dan umatnya.[2] Begitu juga dengan buku tulisan Richard William Southern yang diterbitkan pada tahun 1962 telah memaparkan gambaran pihak Barat terhadap agama Islam pada Zaman Pertengahan (Renaissance)[3].


[1] Lihat buku Norman Daniel, Islam and The West: The Making of An Image. Oxford: Oneworld,1993).
[2] Ibid, hlm. 9.
[3] Lihat buku Richard Southern, Western Views of Islam in the Middle Ages. Cambridge, 1962.

Sabtu, Disember 13, 2008

8.4 - Ulasan Politik, Laporan Media Massa Dan Akhbar

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain


SEBAIK sahaja pemerintah barat mengetahui kepentingan ilmu ketimuran dan keperluan untuk menguasainya, lalu mereka sedaya upaya cuba menjejaki para pengkaji yang berkemahiran tinggi dalam kajian Timur Tengah.

Mereka segera meminta dibentangkan keputusan kajian penyelidikan dan nasihat mereka dalam usaha membuat sesebuah manifesto politik yang menjadikan usaha ini sebagai kerjasama antara sarjana dan pemerintah. Lalu, dewan-dewan parlimen dan juga meja-meja rundingan muali dipenuhi dengan pakar-pakar di kalangan penyelidik orientalis yang menghulurkan buah fikiran mereka demi kebaikan negara dan warganegaranya.

Segala syor dan pandangan mereka kepada kerajaan diberikan paparan untuk difikirkan bersama, sama ada melalui media cetak mahupun media penyiaran. Di dada-dada akhbar, cetusan idea mereka diletakkan di dalam ruangan khusus.

Di muncung-muncung radio pula, mereka dirujuk dan diwawancara dengan panjang lebar bagi mengeluarkan pendapat mereka terhadap isu politik semasa yang berkaitan.

Mereka juga sering diminta memberi pandangan serta pendapat menerusi kaca televisyen, berpandukan kepakaran yang mereka miliki bagi sesuatu isu berkaitan dengan dunia Arab dan negara umat Islam umumnya.

8.3 - Seminar, Konvensyen Dan Perhimpunan

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

Kaum orientalis ini sejak dari permulaan aktiviti mereka dengan mempeljari serta menguasai bahasa Arab dan keilmuan Islam. Mereka senantiasa berhubung sesama mereka dengan cara mengembara ataupun sekadar mengutus surat. Pernah suatu ketika, dikatakan Paris merupakan kiblat para orientalis sewaktu Silvestre de Sacy menjadi ketua Akademi Bahasa Timur di sana sekitar tahun 1795 dan seterusnya.

Begitu juga dengan beberapa buah kota Eropah yang lain, sebaik sahaja didengari terdapatnya seorang orientalis di sana, ia tetap menjadi tumpuan para pelajar dan pengkaji untuk bertemu dengannya ataupun menjemput mereka sebagai pensyarah pelawat di tempat mereka.

Seandainya cara sebegini tidak dapat dilakukan, maka mereka menggunakan cara lain untuk mengumpulkan mereka bagi bertukar-tukar idea dan pengetahuan. Mereka berusaha sedaya upaya dengan mengadakan seminar tahunan di kawasan atau tempat tertentu dari pelbagai lapisan dan tahap keilmuan hinggalah ke peringkat antarabangsa.

Seminar yang dianggotai oleh golongan orientalis ini, seringkali menjadi tempat berhimpunnya para sarjana yang akan membentangkan kertas kerja atau sesuatu bahan ilmiah untuk dibincangkan. Bukannya perhimpunan ini dianujurkan untuk mendapatkan pulangan modal, menerima dana bantuan atau mencapai keuntungan peribadi secara tidak langsung atas kepentingan individu, sebagaimana yang banyak berlaku kini.

Objektif utama yang membuatkan mereka berhimpun semata-mata untuk mencapai kata sepakat bagi melaksanakan agenda mereka dalam bentuk kajian dan penelitian yang begitu terperinci terhadap Islam dan umatnya.

Para orientalis Eropah mulai meninggalkan Perancis dan masyarakat Perancis masih lagi berbangga dengan kisah ini walaupun telah menjangkau satu kurun setengah bagi setiap kongres yang diadakan setiap tahun. Persidangan ini yang turut disertai oleh sarjana dari India, China, Asia Tenggara, termasuk Turki dan negara-negara Asia Tengah yang telah melepaskan diri mereka daripada kekuasaan Rusia serta negara di Afrika Utara. Sekalipun begitu, tumpuan utama mereka masih lagi pada tajuk pengajian Islam dan umatnya.

Persidangan pertama yang berlangsung di Paris dicatatkan pada tahun 1873 dan yang terakhir sekali persidangan ini diadakan buat kali ke-38 dikenali dengan “International Congress for Asian and North African Studies (ICANAS)” pada September tahun 2007 bertempat di Ankara, Turki. Persidangan ini sebagaimana biasa mengupas ratusan risalah kajian berkaitan dunia Timur, khususnya Islam dan umatnya.

Seminar dan persidangan ini semakin banyak diadakan, tetapi jika hendak dibandingkan dengan kursus dan program yang bersifat umum termasuk sesi perbincangan, seminar dan pertemuan-pertemuan di peringkat serantau, seperti Persidangan Orientalis Jerman yang dianjurkan di bandar Dresden, Jerman pada tahun 1849, mungkin tidak dapat dihitung jumlah kesemuanya.
Dalam persidangan-persidangan seperti ini, ia disertai beratus sarjana dan cendikiawan orientalis. Contohnya, Persidangan Oxford telah dihadiri tidak kurang dari 900 orang para cendekiawan dari 25 buah negara, 80 buah universiti dan 69 buah institusi ilmiah.

Kegiatannya pula ditaja oleh institusi-institusi Orientalisme seperti Institut Asiatik di Perancis yang ditubuhkan pada tahun 1822, Lembaga Emperial Asia di England yang ditubuhkan pada tahun 1823, Institut Orientalisme Amerika yang ditubuhkan pada tahun 1842 serta Institut Orientalisme Jerman yang didirikan sejak tahun 1845. kesemua institusi ini mendapat dana sokongan daripada pihak kerajaan dan juga badan-badan keagamaan seperti pihak gereja dan sebagainya.

Ahad, Disember 07, 2008

8.2 - Peranan Majalah, Buletin Dan Penerbitan Artikel Kajian

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain


Dari mula lagi para orientalis berusaha menerbitkan buku-buku berkaitan hal ehwal Islam dari segala aspek seperti akidah, syariah, sejarah dan sebagainya. Mereka turut menyebarkan buku-buku ini di kalangan umat Islam yang berada di segenap dunia Islam ke era yang berikutnya hingga kini.

Dalam lapangan akidah, mereka turut membuat kajian dengan menghasilkan beberapa buah buku dalam bidang tersebut. Buku ini pernah diterbitkan oleh seorang orientalis beragama Yahudi yang berbangsa Hungary dengan judul ‘Pengajian Islam’ sebagaimana yang ditulis di dalam tafsiran pelbagai mazhab mengenai Islam.

Salah seorang orientalis bernama Duncan Black McDonald telah menulis sebuah buku bertajuk “Perkembangan Akidah Islam” yang turut dijadikan rujukan oleh segolongan umat Islam sendiri sebagai bahan ilmiah, bahkan dijadikan sebagai silibus yang diajar di beberapa buah fakulti Pengajian Islam. Manakala, seorang lagi orientalis bernama Nicholson pula telah menulis sebuah buku berjudul “Pensyariatan Islam”.

Mereka telah menerbitkan begitu banyak buku berkaitan bidang Sejarah Islam, sehingga sesetengah umat Islam sendiri menjadikan buku yang dihasilkan oleh Carl Brockelmann mengenai sejarah umat Islam sebagai rujukan utama bagi subjek Sejarah Islam. Begitu juga dengan buku dari hasil karya Bernard Lewis bertajuk “Sejarah Bangsa Arab” yang menjadi kitab rujukan terpenting dalam bidang sejarah bagi para pensyarah yang amat terkesan dengan orientalis.

Terdapat begitu banyak perbezaan di dalam penulisan para orientalis ini pada kurun pertengahan dan permulaan kebangkitan Orientalisme dengan sikap fanatik, hasad dengki, permusuhan, dendam dan kebencian terhadap Islam. Mereka memperlihatkan sikap yang begitu emosional secara terang-terangan dalam memusuhi Islam dan umatnya.

Situasi ini membuatkan sesetengah mereka muncul dengan penulisan yang agak kontra dengan mengkritik segala penulisan tersebut. Antara para orientalis ini yang bertindak sedemikian seperti Norman Daniel dalam bukunya “Islam dan Barat” dan karya Richard Southern dengan bukunya berjudul “Gambaran Islam dan Kaum Muslimin di dalam Buku-buku Kurun Pertengahan”.

Menjelang kurun ke-20, gaya penulisan kaum orientalis mengenai Islam mulai berubah corak dengan meminggirkan gaya fanatik dan sikap permusuhan lampau, antara buku yang berorientasikan kaedah ini adalah dari karya Thomas Arnold yang bertajuk “Seruan Islam”. Buku ini memaparkan sesetengah ungkapan perkataan yang ‘memuji’ Islam dan umatnya, tetapi pada hakikatnya ia begitu tersasar dengan topik yang dibicarakannya serta terseleweng dari metod ilmiah. Sebuah tesis kajian sarjana telah mengkritik buku ini dan boleh didapati di Fakulti Dakwah Universiti Madinah al-Munawwarah.[1]

Begitu juga beberapa buah buku karangan Montgomery Walt mengenai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertajuk “Muhammad di Makkah”, “Muhammad di Madinah”, “Muhammad: Pentadbir dan Ahli Politik” dan beberapa buah judul buku yang lain.

Bahagian akademik di setiap universiti di Eropah begitu aktif menerbitkan buku-buku sebegini, misalnya Universiti Oxford yang mencetak ratusan judul buku setiap tahun berkenaan dunia Islam dan pelbagai isu yang bersangkutan dengannya. Setiap universiti di Eropah dan Amerika ini juga mempunyai badan percetakan dan rangkaian pengedarannya yang tersendiri, sekalipun ia tidak sampai ke tahap menjalankan perniagaan dan percetakan buku dalam bentuk yang lebih agresif.

Bayangkan hal ini, di universiti-universiti umat Islam di negara mereka dan negara kita. Peranan badan penerbitan dan percetakan hanyalah sekadar untuk mencari nama dan mahukan potensi bagi mencapai ISO, fungsi percetakan yang begitu terhad dan badan percetakannya yang hanya berjaya menghasilkan beberapa belas buah buku setahun.

Cuba perhatikan badan penerbitan Universiti Oxford yang menghasilkan ratusan buku yang begitu penting berkaitan dengan Islam dan dunianya, seperti buku Ensiklopedia Oxford – Dunia Islam Moden. Bukunya dihasilkan dalam 4 jilid dengan halaman muka surat setebal 1,840 helaian dan di dalamnya terkandung beberapa topik penting seperti terrorisme, fundamentalis, hak asasi manusia, kedudukan wanita dalam Islam dan dunia Islam. Ensiklopedia ini juga begitu terperinci segala maklumat yang diberikannya dan boleh dipercayai berhubung isu yang ditampilkan di dalamnya.

Pencapaian ini begitu mendadak di era teknologi yang semakin pesat membangun. Buku-buku berkaitan Islam dan dunia sebelah timur, terutamanya tentang masyarakat Arab, India dan selainnya, begitu banyak dipaparkan. Melalui internet sahaja, boleh didapati di dalam syarikat Amazon.com sebagai contoh. Terdapat begitu banyak buku berkaitan ajaran Islam dan isu yang berkaitan dengannya dijual. Tulis sahaja kalimah ISLAM di dalam enjin carian, pasti akan terpapar hampir 88,331 buah buku yang mempunyai tajuk berkaitan dengannya.[2]

Majalah, jurnal dan buletin pula menjangkau beratus-ratus buah di sekitar Eropah dan Amerika yang menghidangkan sajian kisah mengenai dunia Timur Tengah. Perbincangan dari hal masyarakat Arab sejak zaman Firaun, zaman para nabi dari kalangan Bani Israel diutuskan, sebelum kedatangan Islam atau zaman jahiliyah, zaman kerasulan, zaman para khulafa dan pemerintahan monarki, hinggalah isu yang berlaku di sana mutakhir ini.

Jurnal dan majalah ini diterbitkan setiap bulan dan diedarkan kepada ahli ataupun bukan ahlinya. Segala artikel ilmiah dimuatkan di dalamnya dan menjadi tatapan umum kepada para pembaca sama ada yang mengkaji mahupun tidak, dari segala ceruk rantau dunia.

[1] Lihat tesis sarjana bertajuk Kajian Kritikan Terhadap Buku Seruan Islam Oleh Thomas Walker Arnold oleh Mahmud Hamzah ‘Azuni, pelajar sarjana Jurusan Dakwah di Akademi Pengajian Tinggi Dakwah, Madinah al-Munawwarah.
[2] Carian ini dilakukan pada Januari tahun 2008 dan berkemungkinan tajuk buku yang dinyatakan sudah wujud pertambahan di dalam senarainya.

Jumaat, Disember 05, 2008

8.1 - Pengajian Di Universiti Dan Kajian Akademik

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

SEMENJAK lapangan orientalis ini menjadi satu unsur utama dalam dunia penyelidikan yang mendapat tempat dengan ditubuhkan fakulti-fakulti pengajian yang membicarakan secara khusus mengenainya dan menjadi fokus utama sebagai bahan kaji selidik. Lalu, fakulti-fakulti ini mulai mengambil para pelajar dari segenap pelusuk negara dengan tenaga pengajarnya terdiri dari kalangan orang Eropah sendiri yang mengajarkan bidang kepakaran mereka.

Ini dijelaskan sendiri oleh Scarbrough dan Hayter yang memberitahu bahawa komponen ini begitu penting di dalam satu cawangan bagi Kementerian Imperial Britain yang masih wujud kala itu serta Kementerian Luar Negara, agensi risikan, agensi perdagangan, agensi ekonomi, agensi penerangan dan pelbagai lagi bahagian dan cawangan penting.

Para pelajar yang datang untuk melanjutkan pengajian mereka dari timur, terutamanya dari kalangan anak-anak Arab dan Islam. Mereka ini ditaja oleh agensi kerajaan, perbelanjaan sendiri ataupun mendapat biasiswa dari universiti tersebut yang sanggup menggunakan kepakaran yang ada demi melaksanakan misi rahsia mereka. Para pelajar yang terpilih ini akan digunakan dengan sebaiknya dalam menyerapkan racun di dalam minda mereka dengan sebaiknya.

Selain itu, para pelajar ini juga memberikan faedah besar di kalangan pihak universiti kerana mereka dapat ‘dipergunakan’ bagi tujuan kajian akademik yang berkemungkinan sukar bagi para penyelidik barat untuk melepasinya. Lebih-lebih lagi bagi pihak orientalis terdahulu, objektif utama mereka adalah untuk melahirkan para graduan di kalangan anak-anak orang Islam yang dapat mempengaruhi masyarakatnya, apabila mereka pulang kelak ke tanah air mereka dengan menjawat jawatan penting di dalam agensi kerajaan.

Mereka juga turut mempermudahkan teknik pembelajaran bagi melahirkan para graduan peringkat tinggi yang jelas mempunyai kecenderungan dan tahap akademik yang selaras dengan kehendak mereka dalam jangka waktu yang singkat. Hal ini amat berbeza dengan teknik universiti di sebelah timur yang ‘memayahkan’ para graduannya untuk lulus di dalam peperiksaan hingga memakan masa bertahun-tahun untuk mencapai ijazah kedoktoran.

Fakulti pengajian ini mendapat tempat yang begitu menggalakkan dengan tertubuhnya ribuan fakulti yang sama di sekitar Eropah dan Amerika. Sebaik sahaja, matlamat mereka dalam kajian ketimuran berlalu dengan beransur hilangnya istilah Orientalis ini dari fakulti pengajian mereka. Lalu, istilah tersebut ditukar namanya kepada fakulti Pengajian Timur atau Pengajian Tempatan yang diajarkan kepada para penuntut ini mengenai bahasa, etnik, budaya dan geografi kawasan tersebut.

Namun, fakulti-fakulti ini masih belum mencukupi bagi pengajian khusus mengenai dunia Islam dan Arab. Lantas mereka menambah lagi beberapa buah fakulti lain di beberapa buah universiti yang baru ditubuhkan, seperti fakulti Sains Kemasyarakatan, Sains Kemanusiaan, Sains Hayat, jurusan Ekonomi, Hal Ehwal politik dan pelbagai lagi pengajian yang dapat merealisasikan objektif tersebut.

Perkara ini dapat diperhatikan dengan kewujudan Akademi Timur Tengah sebagaimana yang terdapat di Universiti Colombia di New York, atau Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti California di bandar Berkeley, Amerika Syarikat.

Fakulti ini amat berperanan dengan keberkesanan dari silibus pengajiannya yang dapat membentuk minda pelajar dan kefahaman serta tahap penguasaan mereka terhadap isu-isu penting yang terarah kepada ajaran Islam dan kaum Muslimin. Teknik pembelajaran dan rujukan silibus ini yang diguna pakai oleh para pensyarah memberikan peranan penting dalam pengajian universiti di peringkat tinggi, terutamanya di Amerika yang mana para pelajar di peringkat master dan kedoktoran hanya diberikan kuliah yang amat terhad dalam jangka masa beberapa jam sahaja.[1]

Tidak dinafikan bahawa terdapat sesetengah para pelajar Arab dan Islam yang begitu terpengaruh dengan pensyarah mereka dari aspek pemikiran, akhlak dan juga tingkah laku. Oleh yang demikian. Kita dapati di dalam ilmu biografi tokoh Islam dipersoalkan mengenai guru yang mengajarnya. Hal ini amat penting bagi mengetahui guru mereka pada masa kini dari kalangan generasi baru umat Islam yang turut mengambil ilmu dari kalangan orientalis secara langsung mahupun tidak.

Sekalipun kekuatan akidah dan iman yang menjadi tunjang utama di kalangan para pelajar tersebut. Namun, terdapat juga segelintir mereka yang turut terpengaruh dengan para orientalis ini, terutama di kalangan mereka yang mencapai kecemerlangan dan kemahiran dalam jurusan yang diperolehinya. Sudah pasti wujudnya perasaan ‘terhutang budi’ kepada para pensyarah yang banyak membantu dan memberikan dorongan kepada mereka dalam mencapai matlamat pengajian tersebut.

Sedangkan di kalangan para orientalis yang menjadi pensyarah universiti itu sendiri, bukanlah orang sebarangan yang mendapat didikan dari paderi dan rahib di kalangan umat Kristian dan Yahudi. Mereka akan menggunakan segala kepakaran untuk menusukkan ‘jarum beracun’ di minda pelajarnya dengan cara yang tidak disedari mereka, sekalipun hal tersebut merupakan kekeliruan yang paling ‘halus’ dibenak pemikiran para pelajarnya.

Usaha ini ditambah lagi dengan beberapa fakulti atau cawangan universiti yang ditubuhkan di Timur Tengah dengan diajarkan subjek Pengajian Timur Tengah dan juga Pengajian Islam yang dibawa dari universiti di barat seperti Eropah dan Kanada. Diketahui bahawa pihak barat amat mengharapkan agar tertubuhnya universiti Eropah dan Amerika di negara-negara Arab dan Islam. Namun, universiti dan pusat pengajian tinggi yang wujud telah kini seperti universiti Amerika yang mempunyai beberapa cawangan seperti di kota Kaherah, Beirut, Dubai, Syariqah dan di Istanbul.

Begitu juga dengan beberapa buah negara Eropah yang lain turut melaksanakan misi yang sama, seperti negara Perancis yang telah membuka akdemi pengajiannya di beberapa buah negara Arab. Diikuti pula dengan negara Jerman dan Belanda yang berjaya membuka akademi pengajiannya di Mesir.

Hal ini disebutkan di dalam sebuah akhbar harian berbahasa Arab yang melaporkan bahawa peletakan batu asas bagi penubuhan universiti Jerman itu diberikan sumbangan dana oleh Kedutaan Jerman di Kaherah, dua buah universiti tempatan Jerman yang dibantu oleh Badan Induk Perdagangan Arab-Jerman di bidang Perniagaan dan Perindustrian.[2]

Setiap universiti dan akademi pengajian ini ditubuhkan bukanlah bertujuan untuk mengembangkan subjek lain sebenarnya. Jika diperhatikan dari sudut kajin orientalis sendiri, mereka mempunyai tujuan yang lebih utama dari mengembangkan subjek dalam jurusan kejuruteraan, kimia, perubatan, matematik dan sebagainya. Tetapi, mereka lebih mebngutamakan kajian secara menyeluruh terhadapa pengajian Islam, budaya, bahasa, sejarah, sosial, kemanusiaan, pendidikan dan juga geografi.

Bagi mereka yang belajar dengan panduan masyarakat barat, sememangnya mereka akan begitu terpengaruh dengan para pensyarah dari aspek tingkah laku, dan juga akhlak. Dari aspek yang lain bagi para pelajar di dalam jurusan pasca siswazah pula, mereka diberi pilihan untuk mengambil tajuk kajian secara khusus dengan tajuk yang mudah, tetapi berkemungkinan tajuk tersebut tidak memberi sebarang faedah dan membawa keburukan kepada pelajar dan juga setelah kepulangan mereka ke tanah air nanti.

Para pelajar ini seolah-olah ‘terkurung’ di dalam tajuk kajiannya itu, hingga ia menjadikannya terkesan kepada hayat pendidikannya selepas itu. Malahan tidak ramai yang berjaya melepaskan diri daripada ‘kurungan’ tersebut. Pensayarah yang menyelia tajuk kajian tersebut turut memilih topik dan memberikan penekanan kepada pelajar agar merentasi jalan yang diingininya.

Sebagai contoh, pelajar diberikan tugasan untuk membuat kajian tesis terhadap Kitab al-Aghani dari aspek kajian sejarah Islam bagi masyarakat Islam dekad itu. Maka kitab ini memberikan natijah yang bahaya dari satu aspek, kerana kitab tersebut yang mengandungi perkara penuh ‘kegilaan’ dan sekadar hiburan dijadikan sandaran bagi kajian sejarah suatu bangsa yang hebat di atas muka bumi selama ini.

Begitu juga dengan para pensyarah yang ‘mempergunakan’ para pelajarnya untuk mengkaji sesuatu topik yang amat dikehendaki di barat segala maklumat tersebut secara terperinci. Sedangkan mereka sendiri tidak mampu untuk sampai kepada penemuan maklumat tersebut. Lalu bertungkus lumus para pelajar ini yang dijanjikan keputusan cemerlang untuk mendapatkannya.


[1] Lihat buku Orientalis Moden Menurut Pandangan Islam oleh Dr. Mazin Mathbaqani, hlm. 58.
[2] Lihat Akhbar al-Sharq al-Awsat, (Bil. 8340) yang bertarikh 28 September 2001.

Khamis, Disember 04, 2008

8) Strategi Orientalis Mengembangkan Pengaruhnya

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

KAUM orientalis telah melakukan pelbagai teknik dan taktik bagi mengembangkan pengaruh mereka untuk melaksanakan objektif yang menjadi sasaran mereka. orientalis merupakan salah satu bahagian penting di dalam struktur masyarakat mereka, lantas mereka menggunakan pelbagai strategi dan uslub yang ada bagi mengembangkan bidang kajian dan penyelidikan mereka.


Mereka mendapat bantuan dan dana sokongan dari pihak kerajaan mereka yang mengetahui kepentingan jurusan ini. Mereka juga sering memohon untuk menggunakan kepelbagaian sumber dari pelbagai aspek teknik dan taktik yang ada seiring dengan objektif yang mereka ingini.

Dr. Fatimah Abu al-Naja telah menulis mengenai strategi mereka ini dalam ungkapan ringkas, “pihak orientalis tidak pernah meninggalkan suatu ruang dari kepelbagaian peluang yang ada sebagai medan dalam meneruskan aktiviti mereka. Segala aktiviti yang berbentuk akademik yang bermatlamat tinggi amat memerlukan kepakaran dan pengkhususan di dalam lapangan tersebut. Antaranya ialah pengajian di universiti, penubuhan badan korporat antarabangsa didasari penyelidikan akademik dan kebudayaan, mengadakan perhimpunan, seminar dan majlis dialog dua hala.

Mereka turut menerbitkan majalah, mengedarkan risalah kajian, mengumpulkan manuskrip Arab, menyemak, menerbit dan menghasilkan semula buku-buku yang diserapkan ‘racun pemikiran’ dalam bentuk yang tersirat dan penuh evolusi. Menerbitkan ensiklopedia pengetahuan tentang Islam menurut pemikiran mereka, di samping penekanan utama dalam merosakkan wanita Muslimah dengan emansipasi wanita serta menghiasi penulisan dengan kajian dialek pasar (‘Ammiyah) di dalamnya…”[1]

Ini merupakan gambaran secara umum dari kepelbagaian strategi yang digunakan oleh pihak orientalis bagi merealisasikan matlamat perjuangan mereka. Secara ringkasnya dapat dijelaskan bentuk taktik dan strategi mereka ini sebagaimana berikut:
  1. Pengajian Di Universiti Dan Kajian Akademik

  2. Peranan Majalah, Buletin Dan Penerbitan Artikel Kajian

  3. Seminar, Konvensyen Dan Perhimpunan

  4. Ulasan Politik, Laporan Media Massa Dan Akhbar


[1] Lihat buku Cahaya Islam dan Kebatilan Di Sekelilingnya oleh Dr. Fatimah Abu al-Naja, hlm. 160.

Rabu, Disember 03, 2008

7) Perkembangan Orientalis

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

PARA pengkaji di lapangan ini berselisih pendapat mengenai perkembangan dan pertumbuhan keilmuan Orientalisme ini dalam menentukan tahun atau peringkat tertentu dalam kebangkitan orientalis. Sesetengah mereka mengandaikan golongan orientalis ini mulai muncul seiring dengan kemunculan Islam.

Antara golongan mereka yang pertama sekali bertemu dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah golongan Kristian Najran. Malahan, sebelum itu lagi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah mengutuskan utusannya kepada para pembesar dan pemerintah di luar Semenanjung Tanah Arab sehingga pertemuan dengan Najasyi (Negus) di Habsyah (Ethopia).

Di antara ketidakpastian itu, ada juga yang berpendapat bahawa peperangan Mu’tah yang menjadi pertempuran pertama di antara pihak Islam dan Kristian sebagai permulaan Orientalisme. Sesetengah cendekiawan lain pula menyatakan bahawa mereka yang menjadikan Islam sebagai sebuah anutan yang perlu dikritik, setelah terbitnya sebuah buku yang dihasilkan oleh Yuhana al-Dimasyqi (Johannes et Damasque) yang menjelaskan kepada para penganut Kristian di sana, bagaimana teknik dan panduan utama dalam berhujah menentang akidah kaum Muslimin.

Ada juga yang menganggap permulaan kajian secara serius di kalangan orientalis ini bermula pada permulaan ekspedisi Perang Salib yang meletus di kalangan kaum Kristian dan Muslimin. Peperangan memakan masa berabad-abad ini telah mendorong sebilangan orientalis untuk menjalankan kajian bagi mengenalpasti titik kelemahan umat Islam.

Sebilangan yang lain menjelaskan bahawa permulaan kajian orientalis ini dilaksanakan dengan memorandum persepakatan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Gereja Vienna. Mereka menyeru agar ditubuhkan fakulti pengajian bahasa Arab, Ibriyah (Hebrew) dan juga Suryani (Assyrian) di beberapa buah kota Eropah seperti Paris, Oxford dan sebagainya.

Namun, seorang pengkaji berbangsa Inggeris iaitu P.M. Holt berpendapat bahawa memorandum tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan cara yang sepatutnya. Malahan, ia tidak mencapai objektif dan matlamat sebagaimana yang dikehendaki oleh anggota pertubuhan tersebut. Oleh itu, perjanjian kesepakatan yang turut diiktiraf oleh Pope ini tidak dikira sebagai permulaan sebenar bagi perkembangan Orientalisme.[1]

Kebanyakan sarjana lebih sependapat mengenai perkembangan kajian Orientalisme ini bermula dengan mendadak, sebaik sahaja tercetusnya persengketaan di kalangan orang Kristian dan Islam di Andalus. Bertitik tolak dari situasi inilah terlihat dengan jelas kesungguhan golongan Kristian mengkaji peninggalan keilmuan Islam yang pernah bertakhta di sana. Antara mereka yang begitu cenderung dengan pendapat ini di kalangan ulama sarjana Islam ialah Dr. Musthafa al-Siba’ii.[2]

Tidak dinafikan juga, permulaan ini masih belum dapat diterima sebagai permulaan sebenar bagi bidang Orientalisme yang menghasilkan ribuan kitab setiap tahun, di samping ratusan seminar dan kursus yang diadakan. Hal ini dikira sebagai permulaannya sebagaimana yang terdapat di dunia barat kini dengan kebangkitan Eropah dengan era Perindustriannya yang cukup terkenal.

Kebangkitan perindustrian ini telah menyemarakkan keilmuan dengan terbangunnya universiti dan pusat-pusat intelektual yang memberikan sumbangan besar kepada penerbitan buku dan bahan ilmiah yang lain, semenjak kurun ke-16 lagi. Lalu ditegaskan, “bermulanya percetakan buku-buku Arab pada era tersebut dengan pesat serta aktiviti ilmiah yang berjaya menghasilkan satu demi satu buku berbahasa Arab…”[3]

Lalu bermulalah usaha yang semakin pesat di kalangan para orientalis ini dengan menubuhkan fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Timur di sebeliangan besar universiti-universiti sekitar Eropah. Antaranya, fakulti Kajian Timur di Universiti Oxford telah ditubuhkan pada tahun 1638 dan Universiti Cambridge seawal tahun 1632.

Ahmed Smailovic menambah lagi mengenai penubuhan Badan Ilmiah seperti Pertubuhan Asia-Bengal, Pertubuhan Orientalis Amerika, Pertubuhan Kerajaan Asia-Britain dan selainnya merupakan satu gagasan besar bagi kajian orientalis. Mereka dapat menghimpunkan segala bentuk dan sumber seperti sumber keilmuan, pentadbiran, kewangan dan selainnya yang dapat dijanakan dalam penyelidikan dan kajian ketamadunan di benua Timur yang menjadi fokus utama dalam mengeksploitasi kekayaan serta mengekang dasar imperialis mereka di sana.[4]

Antara program penting yang dirancang oleh orientalis adalah menubuhkan Kolej Pengajian Bahasa-bahasa Timur di Perancis yang dipimpin oleh pakarnya yang terkenal iaitu Silvestre de Sacy (1758-1838) yang menjadi tumpuan para orientalis di seluruh Eropah. Usaha yang dilakukannya ini berjaya membentuk para orientalis dengan acuan Perancis sejak beberapa lama.[5]

Tertubuhnya kolej Pengajian Orientalis juga memberikan ‘nafas baru’ dalam pergerakan mereka dengan terlaksananya Seminar Orientalis Antarabangsa pada tahun 1873 yang akan diadakan setiap tahun selepasnya.


[1] Lihat buku The Origin of Islam Studies oleh P.M. Holt, al-Kulliya (Khartoum) No.1, 1952,hlm.20-27.
[2] Lihat kertas kerja bertajuk Peranan Orientalis dalam Kesusasteraan Arab oleh Dr. Ali al-Namlah, yang dibentangkan di Akademi al-Malik Faisal bagi Penyelidikan dan Pengajian Islam, Riyadh (1414/1993), hlm. 23-31.
[3] Lihat buku Falsafah Orientalis dan Kesannya Terhadap Sastera Arab Moden oleh Ahmed Smailovic, Kaherah, hlm. 77.
[4] Ibid. hlm. 81.
[5] Lihat buku Orientalis oleh Najib al-Aqiqi, (Kaherah), jld. 1, hlm. 140.

Isnin, Disember 01, 2008

6) Definisi Penulis Mengenai Orientalisme

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

ORIENTALISME merupakan fakta kajian yang dicetuskan oleh sarjana Eropah dan Amerika bersumberkan penyelidikan akademik, cetusan idea, media massa, ulasan politik, siasatan maklumat dan pelbagai lagi kaedah untuk mendapatkan info berkaitan agama Islam dan kaum muslimin.

Mereka berusaha menyelidiki rutin kehidupan umat Islam dari aspek akidah, syariah, kemasyarakatan, politik, gaya pemikiran dan juga kesenian. Malahan, hal ini dapat dicapai dengan meneliti penulisan dan laporan yang disampaikan oleh sarjana ini dari kalangan Kristian Arab seperti Qibti (Coptic), Suryani (Assyria) serta pelbagai bangsa lain yang hidup di tengah-tengah masyarakat Islam.

Mereka turut menilai ajaran Islam dari pandangan kaca mata barat dan dibantu oleh para penyelidik Islam sendiri yang ‘berguru’ dari tangan-tangan orientalis dan begitu terpengaruh dengan gaya pemikiran mereka.

Walau bagaimanapun, terdapat juga sebilangan sarjana orientalis yang turut menumpukan kepada pelbagai bangsa Timur yang lain secara umumnya. Bangsa dan budaya yang dijadikan bahan kajian di dalam lapangan ini turut merangkumi India, Asia Tenggara, China, Jepun dan Korea.

Ahad, November 30, 2008

5) Definisi Orientalisme Menurut Perspektif Barat

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

ISTILAH orientalis ini mulai muncul di Eropah dan dunia barat sejak beberapa kurun sebelum ini dalam bentuk yang tidak teratur dan tersusun. Namun, usaha ini menampakkan penekanan yang begitu ketara dan penuh kecemerlangannya pada abad ke-19.

Sekalipun sebelum itu mereka telah mengkaji timur berkaitan dengan bahasa dan agamanya terutama sekali agama Islam dengan begitu banyak kajian yang dihasilkan. Namun, diharapkan agar istilah ini mulai muncul buat pertama kalinya dari penyelidikan A. J. Arberry di dalam sebuah kaji selidiknya, sebagaimana dia menjelaskan:

“Bukti asal bagi istilah Orientalis ini ditemui pada tahun 1638 yang dikemukakan oleh seorang anggota gereja di timur atau Greek. Manakala pada tahun 1691, Anthony Wood (1632-1695) dan Samuel Clarke (1675-1729) telah menyifatkan dan mendakwa bahawa mereka adalah Orientalis kerana mengetahui beberapa jenis dialek pertuturan bahasa timur. Begitu juga dengan Lord Byron (1788-1824) di dalam ulasannya terhadap bukunya yang berjudul Childe Harold's Pilgrimage menceritakan tentang Thornton yang begitu mahir dengan bahasa timur menunjukkan bahawa dia seorang Orientalis yang tulen.”[1]

Beliau turut menyatakan sebagaimana yang dijelaskan di dalam kamus Oxford mengenai orientalis iaitu, “Mereka yang pakar berkaitan dengan bahasa-bahasa dan kesusasteraan timur.”[2]

Sebilangan sarjana barat yang percaya bahawa kemunculan istilah Orientalis ini agak lewat, sepertimana yang didakwa oleh orientalis berbangsa Perancis bernama Maxim Rodinson yang mengatakan istilah ini hanya timbul di Perancis pada tahun 1799 dan digunakan dalam bahasa Inggeris di England sekitar tahun 1838. Istilah ini muncul secara mendadak akibat keperluan dalam mewujudkan sebuah Fakulti Pengajian Ketimuran di sana. Tambahan pula, keperluan mereka untuk mengambil para sarjana yang mahir untuk membantu menguruskan penerbitan majalah, pertubuhan intelek dan jurusan pengajian akademik.[3]

Namun, bagi sarjana Muslim seperti Dr. Ahmad Abdul Hamid Ghurab menetapkan, bahawa pengajian akademik yang ditaja oleh pihak barat di kalangan Ahli Kitab sama ada Yahudi dan Kristian dengan dinamakan sebagai orientalis ini lebih memfokuskan kajian terhadap Islam dan penganutnya.

Mereka menumpukan kajian dan perbincangan dari kepelbagaian aspek sama ada akidah, syariah, kebudayaan, ketamadunan, sejarah, sistem peraturan, sumber semulajadi dan segenap kemampuan yang dimiliki di kalangan umat Islam. Tujuan utama mereka adalah untuk menyelewengkan ajaran Islam daripada penganutnya, selain menimbulkan keraguan di minda mereka terhadap ajaran Islam. Percubaan ini berpandukan kajian terperinci yang dinamakan sebagai kajian akademik, di samping menempelkan semangat perkauman dan perbezaan budaya yang cenderung kepada barat Kristian berbanding timur yang Islami.[4]

Kekuatan pengaruh dan dakyah yang digunakan mereka ini dapat dilihat dengan kemampuan mereka mewujudkan generasi umat Islam yang begitu terpengaruh dengan kemodenan barat. Sepulangnya mereka dari sana, mereka cuba sedaya upaya untuk menghidupkan kebudayaan dan kemajuan itu pada sangkaan mereka di dalam negara umat Islam.

Semua ini dapat dilihat pada awal abad ke-20, penyerapan kebudayaan itu berlaku dengan begitu pantas hinggakan umat Islam sendiri sanggup menanggalkan keislamannya, demi berkiblatkan barat. Puluhan negara umat Islam terpengaruh dengan pelbagai ideologi seperti nasionalis, kapitalis, sosialis dan juga komunis.

[1] Lihat buku Orientalis Britain oleh A.J. Arberry, hlm 8.
[2] Ibid. hlm. 8.
[3] Lihat buku Gambaran Barat Dan Pengajian Sarjana Barat Terhadap Islam oleh Maxime Rodinson, hlm. 27-101.
[4] Lihat buku Pandangan Islam Terhadap Orientalis oleh Ahmad Abdul Hamid Ghurab dalam, hlm. 7.

Jumaat, November 28, 2008

4) Definisi Orientalisme Menurut Bahasa Arab


Oleh: Mohd Fikri Che Hussain


KALIMAH Orientalisme ini disebut di dalam bahasa Arab sebagai Istisyraq (استشراق) yang diambil dari kalimah Isyraq (إشراق) dan ditambah dengan tiga huruf iaitu alif (أ), sin (س) dan ta` (ت) yang memberi maksud menuntut kepada cahaya atau petunjuk yang terbit dari timur, memandangkan cahaya matahari terbit dari sebelah timur.
Begitu juga dengan kelahiran tiga agama besar dunia yang muncul dari timur iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Oleh itu, pengertian Orientalisme jika difokuskan dengan lebih khusus ia merupakan satu kegiatan penyelidikan yang dilakukan oleh Orientalis di barat mengenai kajian hal ehwal timur seperti agama dan budaya di timur.

Khususnya pengkajian ini tertumpu tentang agama Islam, kaum muslimin, pegangan akidah, syariat perundangan, sejarah, sosio budaya dan masyarakat, ketamadunan, keilmuan serta pelbagai lagi perkara yang bersangkutan dengan mereka.

Secara ringkas dapat dibayangkan bahawa kegiatan penyelidikan tersebut secara umum berlangsung di dalam pelbagai bidang seperti berikut:

1. Bidang arkeologi.
2. Bidang sejarah.
3. Bidang bahasa dan dialek.
4. Bidang agama.
5. Bidang kesusasteraan.
6. Bidang keturunan.
7. Bidang kemasyarakatan.
8. Bidang adat istiadat setempat.
9. Bidang politik.
10. Bidang ekonomi.
11. Bidang kajian hayat flora dan fauna.

Ringkasnya, setiap keilmuan ini dilakukan menurut bidang masing-masing berkaitan dengan hal ehwal ketimuran. Jadi, dapat dibayangkan keluasan bidang dan ruang lingkup yang dikaji oleh para orientalis itu memerlukan ketekunan dan kesungguhan untuk mencapainya.

Manakala kajian berkenaan dengan keilmuan Barat pula yang berlawanan dengan Orientalisme dikenali sebagai Oksidentalisme (Occidentalisme) diterjemahkan ke dalam bahasa Arab sebagai Istighrab (استغراب) yang diambil dari kalimah Gharb (غرب) merupakan gabungan tiga huruf iaitu ghain (غ), ra` (ر) dan ba` (ب) membawa erti barat.

Khamis, November 27, 2008

3) Definisi Orientalisme

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

Orientalisme berasal dari perkataan orient yang berasal dari bahasa Perancis yang bermaksud timur, jika menurut geografinya ia merupakan bahagian dunia sebelah timur dan dari aspek etnologinya bermaksud bangsa-bangsa yang tinggal di benua sebelah timur.

Kalimah orient ini telah mempengaruhi penggunaannya hingga ke bahasa lain di Eropah sepertimana bahasa Inggeris. Oriental di dalam bahasa Inggeris menunjukkan makna kepada perkara yang bersifat ketimuran dan terlalu luas ruang lingkupnya.

Orientalis pula adalah kata nama bagi pelaku atau orang yang mengamalkannya dan ia merupakan seorang yang berkemahiran tentang hal berkaitan dengan timur. Lebih mudah difahami sebagai pakar tentang budaya dan bahasa timur atau ahli ketimuran.

Manakala, kalimah isme (Belanda) ataupun ism (Inggeris) pula memberikan makna tentang sesuatu fahaman atau ideologi. Oleh itu, jika disambungkan kalimah Orientalisme ini, ia memberi pengertian tentang suatu fahaman atau aliran yang berkeinginan untuk mengkaji selidik hal-hal yang berkaitan dengan dunia ketimuran dari pelbagai aspek dan bentuk.

Lawan kata orient ini di dalam bahasa Perancis ialah occident yang bermaksud barat, jika menurut geografinya ia merupakan bahagian dunia sebelah barat dan dari aspek etnologinya bermaksud bangsa-bangsa yang tinggal dan mendiami di benua sebelah barat.

Perbezaan ini jelas ketara dan tidak pernah kedengaran sebelum ini, namun istilah Oksidentalisme (Occidentalisme) akan disebut sebagai satu keilmuan yang baru muncul dalam lingkungan disiplin ilmu Islam pada topik yang akan datang.

Rabu, November 26, 2008

2) Pengenalan Orientalis

Oleh: Mohd Fikri Che Hussain

KALIMAH orientalis mempunyai banyak makna bagi sesetengah tokoh. Namun sebaiknya diambil dari tokoh terkenal yang cenderung di bidang ini sebagaimana menurut Edward W. Said dalam bukunya ‘Orientalisme’ di mana kalimah orientalis merujuk kepada "sesiapa sahaja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji tentang hal ehwal dunia ketimuran."

Dalam pengertian yang lebih khusus, orientalisme lebih merujuk kepada "satu gerakan pengkajian hal ehwal Islam, budaya bangsa dan masyarakat Muslim oleh orang Barat". Sama ada dengan tujuan ilmiah semata-mata atau untuk tujuan keagamaan dan juga politik.

Hubungan awal antara orientalisme dan kristianisasi dikatakan sangat erat sejak abad ke-13 Masihi. Mubaligh Kristian khususnya ke sebelah wilayah Timur sangat digalakkan mempelajari bahasa dan budaya hidup Muslim bagi memudahkan pencapaian misi mereka. Malah, di peringkat awal, boleh dikatakan Kristian menjadi pendorong kepada gerakan ini.

Jadi, apakah tujuan sebenar gerakan orientalisme ini?

Sebaiknya dinyatakan secara ringkas, terdapat pelbagai tujuan gerakan ini. Objek kajiannya meliputi peradaban, agama, seni, sastera, bahasa dan kebudayaan. Gagasan pemikiran ini telah memberikan kesan yang besar dalam membentuk persepsi Barat terhadap Islam dan dunia Islam.

Menurut Mahmud Hamdi Zaqzuq, orientalis boleh dibahagi kepada golongan seperti berikut:
1- Golongan yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan racun mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam tentang anutan mereka. Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada sebilangan pekerja yang berkhidmat di gereja.

2- Golongan lain ialah orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya.

3- Golongan seterusnya ialah orientalis yang mengkaji Islam secara objektif. Mereka berpegang kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran.

Namun, sebahagian besar mereka adalah dalam kumpulan pertama dan kedua. Mereka dilihat sangat aktif memain peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jikapun tidak meninggalkannya terus. Pelbagai keraguan dan syak wasangka ditimbulkan khususnya tentang asas dan sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan sunah.

Terdapat juga sebahagian orientalis yang bersikap objektif dengan menghasilkan sesuatu yang berfaedah seperti kamus ataupun kajian sejarah yang diiktiraf sebagai sangat berautoriti dalam perkembangan keilmuan Arab (timur) dan menjadi rujukan di kalangan masyarakat Arab / Islam sendiri.

Namun, seperti yang dinyatakan tadi, golongan ini adalah kelompok minoriti. Oleh kerana objektif mereka dalam menjalankan penyelidikan ilmiah, sebahagian mereka menemui kebenaran dan memeluk Islam.

Dari segi perundangan Islam, orientalis agak berjaya memainkan peranan mereka menyogokkan bahawa undang-undang bukanlah sebahagian ajaran Islam. Islam hanya menekankan aspek akidah, moral dan akhlak.

Atas nama keadilan dan hak asasi, pengaruh ini semakin jelas di kalangan masyarakat. Ia dapat dilihat menerusi suara-suara yang memperjuangkan kebebasan sepenuhnya atau Islam liberal di kalangan umat Islam untuk menentukan apa yang baik dan buruk untuk mereka beralaskan landasan barat.

Selasa, November 25, 2008

1) Pendahuluan


Assalamualaikum

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Blog ini dibina bertujuan untuk berkongsi sedikit pengetahuan yang saya dapati daripada pembacaan saya. Banyak perkara yang masih kita belum ketahui mengenai 'bahaya' ideologi Orientalisme yang menerjah ke dalam akal pemikiran bangsa kita sejak dulu.
Semoga kita memperolehi sedikit maklumat....

Setiap apa yang dinukilkan di dalam blog ini, sebaiknya disebutkan rujukannya... kerana sebahagian besar dari hasilannya adalah dari kandungan buku saya yang diterjemah dan diolah oleh saya sendiri. Kemudiannya ia bakal diterbitkan oleh pihak penerbit sedikit masa lagi. Insya Allah.

Sekian terima kasih...

Wassalam

Mohd Fikri Che Hussain @ Alamghiri