Oleh: Mohd Fikri Che Hussain
KALIMAH orientalis mempunyai banyak makna bagi sesetengah tokoh. Namun sebaiknya diambil dari tokoh terkenal yang cenderung di bidang ini sebagaimana menurut Edward W. Said dalam bukunya ‘Orientalisme’ di mana kalimah orientalis merujuk kepada "sesiapa sahaja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji tentang hal ehwal dunia ketimuran."
Dalam pengertian yang lebih khusus, orientalisme lebih merujuk kepada "satu gerakan pengkajian hal ehwal Islam, budaya bangsa dan masyarakat Muslim oleh orang Barat". Sama ada dengan tujuan ilmiah semata-mata atau untuk tujuan keagamaan dan juga politik.
Hubungan awal antara orientalisme dan kristianisasi dikatakan sangat erat sejak abad ke-13 Masihi. Mubaligh Kristian khususnya ke sebelah wilayah Timur sangat digalakkan mempelajari bahasa dan budaya hidup Muslim bagi memudahkan pencapaian misi mereka. Malah, di peringkat awal, boleh dikatakan Kristian menjadi pendorong kepada gerakan ini.
Jadi, apakah tujuan sebenar gerakan orientalisme ini?
Sebaiknya dinyatakan secara ringkas, terdapat pelbagai tujuan gerakan ini. Objek kajiannya meliputi peradaban, agama, seni, sastera, bahasa dan kebudayaan. Gagasan pemikiran ini telah memberikan kesan yang besar dalam membentuk persepsi Barat terhadap Islam dan dunia Islam.
Menurut Mahmud Hamdi Zaqzuq, orientalis boleh dibahagi kepada golongan seperti berikut:
1- Golongan yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan racun mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam tentang anutan mereka. Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada sebilangan pekerja yang berkhidmat di gereja.
2- Golongan lain ialah orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya.
3- Golongan seterusnya ialah orientalis yang mengkaji Islam secara objektif. Mereka berpegang kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran.
Namun, sebahagian besar mereka adalah dalam kumpulan pertama dan kedua. Mereka dilihat sangat aktif memain peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jikapun tidak meninggalkannya terus. Pelbagai keraguan dan syak wasangka ditimbulkan khususnya tentang asas dan sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan sunah.
Terdapat juga sebahagian orientalis yang bersikap objektif dengan menghasilkan sesuatu yang berfaedah seperti kamus ataupun kajian sejarah yang diiktiraf sebagai sangat berautoriti dalam perkembangan keilmuan Arab (timur) dan menjadi rujukan di kalangan masyarakat Arab / Islam sendiri.
Namun, seperti yang dinyatakan tadi, golongan ini adalah kelompok minoriti. Oleh kerana objektif mereka dalam menjalankan penyelidikan ilmiah, sebahagian mereka menemui kebenaran dan memeluk Islam.
Dari segi perundangan Islam, orientalis agak berjaya memainkan peranan mereka menyogokkan bahawa undang-undang bukanlah sebahagian ajaran Islam. Islam hanya menekankan aspek akidah, moral dan akhlak.
Atas nama keadilan dan hak asasi, pengaruh ini semakin jelas di kalangan masyarakat. Ia dapat dilihat menerusi suara-suara yang memperjuangkan kebebasan sepenuhnya atau Islam liberal di kalangan umat Islam untuk menentukan apa yang baik dan buruk untuk mereka beralaskan landasan barat.
Rabu, November 26, 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan