Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Jumaat, November 28, 2008

4) Definisi Orientalisme Menurut Bahasa Arab


Oleh: Mohd Fikri Che Hussain


KALIMAH Orientalisme ini disebut di dalam bahasa Arab sebagai Istisyraq (استشراق) yang diambil dari kalimah Isyraq (إشراق) dan ditambah dengan tiga huruf iaitu alif (أ), sin (س) dan ta` (ت) yang memberi maksud menuntut kepada cahaya atau petunjuk yang terbit dari timur, memandangkan cahaya matahari terbit dari sebelah timur.
Begitu juga dengan kelahiran tiga agama besar dunia yang muncul dari timur iaitu Yahudi, Kristian dan Islam. Oleh itu, pengertian Orientalisme jika difokuskan dengan lebih khusus ia merupakan satu kegiatan penyelidikan yang dilakukan oleh Orientalis di barat mengenai kajian hal ehwal timur seperti agama dan budaya di timur.

Khususnya pengkajian ini tertumpu tentang agama Islam, kaum muslimin, pegangan akidah, syariat perundangan, sejarah, sosio budaya dan masyarakat, ketamadunan, keilmuan serta pelbagai lagi perkara yang bersangkutan dengan mereka.

Secara ringkas dapat dibayangkan bahawa kegiatan penyelidikan tersebut secara umum berlangsung di dalam pelbagai bidang seperti berikut:

1. Bidang arkeologi.
2. Bidang sejarah.
3. Bidang bahasa dan dialek.
4. Bidang agama.
5. Bidang kesusasteraan.
6. Bidang keturunan.
7. Bidang kemasyarakatan.
8. Bidang adat istiadat setempat.
9. Bidang politik.
10. Bidang ekonomi.
11. Bidang kajian hayat flora dan fauna.

Ringkasnya, setiap keilmuan ini dilakukan menurut bidang masing-masing berkaitan dengan hal ehwal ketimuran. Jadi, dapat dibayangkan keluasan bidang dan ruang lingkup yang dikaji oleh para orientalis itu memerlukan ketekunan dan kesungguhan untuk mencapainya.

Manakala kajian berkenaan dengan keilmuan Barat pula yang berlawanan dengan Orientalisme dikenali sebagai Oksidentalisme (Occidentalisme) diterjemahkan ke dalam bahasa Arab sebagai Istighrab (استغراب) yang diambil dari kalimah Gharb (غرب) merupakan gabungan tiga huruf iaitu ghain (غ), ra` (ر) dan ba` (ب) membawa erti barat.

Tiada ulasan: