ISTILAH orientalis ini mulai muncul di Eropah dan dunia barat sejak beberapa kurun sebelum ini dalam bentuk yang tidak teratur dan tersusun. Namun, usaha ini menampakkan penekanan yang begitu ketara dan penuh kecemerlangannya pada abad ke-19.
Sekalipun sebelum itu mereka telah mengkaji timur berkaitan dengan bahasa dan agamanya terutama sekali agama Islam dengan begitu banyak kajian yang dihasilkan. Namun, diharapkan agar istilah ini mulai muncul buat pertama kalinya dari penyelidikan A. J. Arberry di dalam sebuah kaji selidiknya, sebagaimana dia menjelaskan:
“Bukti asal bagi istilah Orientalis ini ditemui pada tahun 1638 yang dikemukakan oleh seorang anggota gereja di timur atau Greek. Manakala pada tahun 1691, Anthony Wood (1632-1695) dan Samuel Clarke (1675-1729) telah menyifatkan dan mendakwa bahawa mereka adalah Orientalis kerana mengetahui beberapa jenis dialek pertuturan bahasa timur. Begitu juga dengan Lord Byron (1788-1824) di dalam ulasannya terhadap bukunya yang berjudul Childe Harold's Pilgrimage menceritakan tentang Thornton yang begitu mahir dengan bahasa timur menunjukkan bahawa dia seorang Orientalis yang tulen.”[1]
Beliau turut menyatakan sebagaimana yang dijelaskan di dalam kamus Oxford mengenai orientalis iaitu, “Mereka yang pakar berkaitan dengan bahasa-bahasa dan kesusasteraan timur.”[2]
Sebilangan sarjana barat yang percaya bahawa kemunculan istilah Orientalis ini agak lewat, sepertimana yang didakwa oleh orientalis berbangsa Perancis bernama Maxim Rodinson yang mengatakan istilah ini hanya timbul di Perancis pada tahun 1799 dan digunakan dalam bahasa Inggeris di England sekitar tahun 1838. Istilah ini muncul secara mendadak akibat keperluan dalam mewujudkan sebuah Fakulti Pengajian Ketimuran di sana. Tambahan pula, keperluan mereka untuk mengambil para sarjana yang mahir untuk membantu menguruskan penerbitan majalah, pertubuhan intelek dan jurusan pengajian akademik.[3]
Namun, bagi sarjana Muslim seperti Dr. Ahmad Abdul Hamid Ghurab menetapkan, bahawa pengajian akademik yang ditaja oleh pihak barat di kalangan Ahli Kitab sama ada Yahudi dan Kristian dengan dinamakan sebagai orientalis ini lebih memfokuskan kajian terhadap Islam dan penganutnya.
Mereka menumpukan kajian dan perbincangan dari kepelbagaian aspek sama ada akidah, syariah, kebudayaan, ketamadunan, sejarah, sistem peraturan, sumber semulajadi dan segenap kemampuan yang dimiliki di kalangan umat Islam. Tujuan utama mereka adalah untuk menyelewengkan ajaran Islam daripada penganutnya, selain menimbulkan keraguan di minda mereka terhadap ajaran Islam. Percubaan ini berpandukan kajian terperinci yang dinamakan sebagai kajian akademik, di samping menempelkan semangat perkauman dan perbezaan budaya yang cenderung kepada barat Kristian berbanding timur yang Islami.[4]
Kekuatan pengaruh dan dakyah yang digunakan mereka ini dapat dilihat dengan kemampuan mereka mewujudkan generasi umat Islam yang begitu terpengaruh dengan kemodenan barat. Sepulangnya mereka dari sana, mereka cuba sedaya upaya untuk menghidupkan kebudayaan dan kemajuan itu pada sangkaan mereka di dalam negara umat Islam.
Semua ini dapat dilihat pada awal abad ke-20, penyerapan kebudayaan itu berlaku dengan begitu pantas hinggakan umat Islam sendiri sanggup menanggalkan keislamannya, demi berkiblatkan barat. Puluhan negara umat Islam terpengaruh dengan pelbagai ideologi seperti nasionalis, kapitalis, sosialis dan juga komunis.
[1] Lihat buku Orientalis Britain oleh A.J. Arberry, hlm 8.
[2] Ibid. hlm. 8.
[3] Lihat buku Gambaran Barat Dan Pengajian Sarjana Barat Terhadap Islam oleh Maxime Rodinson, hlm. 27-101.
[4] Lihat buku Pandangan Islam Terhadap Orientalis oleh Ahmad Abdul Hamid Ghurab dalam, hlm. 7.
[2] Ibid. hlm. 8.
[3] Lihat buku Gambaran Barat Dan Pengajian Sarjana Barat Terhadap Islam oleh Maxime Rodinson, hlm. 27-101.
[4] Lihat buku Pandangan Islam Terhadap Orientalis oleh Ahmad Abdul Hamid Ghurab dalam, hlm. 7.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan