Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Isnin, Februari 08, 2010

KESAN PENGARUH ORIENTALISME DI DUNIA ISLAM - Aspek Akidah


Oleh - Mohd Fikri Che Hussain
i) Aspek Akidah.

Antara kesan dari penyebaran kajian orientalis di kalangan umat Islam dan negara mereka adalah dengan terwujudnya kesan pengaruh Barat yang berakar umbi di kalangan masyarakat Islam, sama ada dari para tokoh pemimpin, para pemikir, ahli politik hinggalah kepada golongan awam yang menyeru kepada pemisahan agama dan kehidupan. Mereka sedaya upaya menyeru perkara tersebut agar dapat direalisasikan dalam kehidupan mereka dengan digelarkannya sebagai ideologi Sekulerisme.

Sedangkan akidah Islam terikat dengan setiap unsur kehidupan dengan keimanan kepada Allah Taala dengan pandangan secara umum yang dinyatakan oleh Islam menurut ketetapan Allah dan mampu difahami oleh setiap tahap akal manusia. Keadaan ini amat berbeza dengan ajaran Kristian yang meletakkan agama anutan mereka yang begitu menyeleweng dalam keadaan terkebelakang dan tidak bertamadun. Bahkan, ketetapan yang diletakkan oleh golongan agamawan ini memberikan keuntungan kepada pihak mereka sahaja dan membelakangkan hak masyarakat awam dari segenap keadaan.

Malahan muncul sikap agamawan yang tidak menerima sebarang bentuk pembaharuan yang menyalahi prinsip kejumudan mereka. Lalu mereka mengurung dan menghukum bunuh segolongan ilmuan yang mengkaji sains yang diambil dari lapangan keilmuan Islam pada dekad itu. Malah golongan ilmuan ini dianggap mereka yang cuba membawa anutan baru atau cuba menegakkan ajaran sihir yang tidak terdapat dalam anutan masyarakat mereka.

Lalu muncullah gelombang reformis yang mahu menyeru ke arah pemisahan agama dan kehidupan mereka kerana mahu menceburi bidang keilmuan yang dipelopori oleh umat Islam di kala itu. Mereka dengan sedaya upaya menyekat pengaruh agamawan dari terus berkembang dalam institusi masyarakat mereka. Lantas mereka cuba mendapatkan sokongan bagi membenteras pengaruh agamawan ini yang cuba menyekat kehendak keilmuan mereka.

Hal ini turut meluas di kalangan umat Islam yang terpengaruh dengan dakyah ini, mereka cuba memisahkan pengaruh agama dalam isu keduniaan bagaikan tiada hubungan di antara Allah dan umat manusia atau di antara Pencipta dengan makhluknya. Mereka juga menetapkan lapangan kehidupan yang direntasi ini seperti medan politik, ekonomi dan juga sosial turut terpisah dari ajaran agama Islam.

Mereka menerima ideologi ini dengan penuh bangga tanpa melihat ke arah anutan Kristian yang diselewengkan setiap ajarannya oleh para rahib mereka dengan kepelbagaian pemalsuan yang boleh dilakukan dengan mudah di Eropah, tetapi sukar untuk dilaksanakan di negara Islam secara seratus peratus walaupun telah dicuba hampir seabad lampau.

Setelah kejatuhan Khilafah Utsmaniyah di Turki pada tahun 1924 di tangan Mustafa Kemal Ataturk. Perlembagaan Turki diubah 100% ke arah sekulerisme dengan pemisahan secara total antara ajaran agama dan politik keduniaan. Keadaan ini sungguh menghibakan dengan pengharaman pakaian berunsur Islam di sana. Kopiah, tarbus, jubah, tudung dan segala yang dikira sebagai busana Muslim turut dilarang dalam urusan pentadbiran kerana membawa identiti agama. Namun, pada tahun 2008 pengharaman itu ditarik balik dengan dikembalikan hak wanita Islam untuk memakainya di universiti dan pusat pengajian awam.

Keadaan umat Islam tidak akan sama dengan Eropah semasa mereka melaksanakan Revolusi Perindustrian dengan melancarkan perang kepada pihak agamawan dan juga gereja. Pemencilan kuasa gereja dapat dilihat dengan kewujudan wilayah ‘sekangkang kera’ yang diberikan kepada Pope di Vatikan dalam negara Itali untuk merealisasikan anutan ajarannya kini. Kemuncak persengketaan di Eropah ini berakhir dengan meledaknya Revolusi Perancis pada abad tersebut.

Pengaruh kebudayaan orientalis yang membawa kesan mendalam di kalangan mereka ini, cuba diterapkan di dalam kebudayaan Islam pada negara yang dijajahnya. Mereka cuba menerapkan hal ini dengan cara mengadakan program pertukaran pelajar dari negara Islam ke Perancis. Hal ini dapat digambarkan seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad al-Sabbagh, “Para pelajar yang dirosakkan ini dihantar ke sana yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara Eropah sebagaimana yang dilakukan oleh Perancis. Perkara ini dilaksanakan selepas tercetusnya Revolusi Perancis yang merenangi lautan yang mengandungi segala bentuk kekalutan moral, ideologi dan sosio-kemasyarakatan… disebabkan inilah Perancis merupakan tempat tertumpunya para pelajar ini.” [1]

“Lantas berlepas rombongan para pelajar ini dari negara Turki, Mesir, Iran dan juga Maghribi. Setiap pelepasan rombongan para pelajar ini dikawal selia oleh para orientalis Perancis. Contohnya, rombongan para pelajar Mesir yang dihantar ke sana diseliakan oleh seorang orientalis yang bernama Jounar. Berkata salah seorang orientalis tentang delegasi pertama ini yang bertujuan untuk mendalami teknik kejuruteraan dan taktik persenjataan moden pada asasnya. Namun, pada aspek yang tersiratnya pihak pengajar Perancis begitu mengambil berat dalam aspek pengajaran ini agar pelajar Islam ini turut membawa bersama mereka kesusasteraan dan kebudayaan Perancis yang diterapkan dalam pembelajaran mereka.” [2]

Antara perkara asas yang dititik beratkan dalam kajian orientalis terhadap akidah adalah penekanan yang melampau terhadap Tasauf. Penumpuan kajian ini terutama sekali dalam perkara yang ‘tersasar’ daripada tunjang al-Quran dan al-Sunnah. Lalu didapati sebahagian mereka meletakkan neraca khusus yang mengagungkan ketokohan Ibn ‘Arabi al-Mulhid dalam medan kajian orientalis.

Lantas ia turut menjadi kajian penting bagi generasi Islam yang tidak ada sebarang asas kukuh dalam beragama untuk merongkaikan segala penumpuan di bidang Tasauf batil tersebut. Begitu juga para orientalis ini memberikan penumpuan khusus pada sebahagian kelompok atau puak yang diketahui kesesatan mereka. Kelompok tersebut yang menjadi objektif kajian mereka adalah golongan sesat Syiah Rafidhah, Isma’iliyah, Druze, Ikhwan al-Safa dan selain mereka dengan falsafah dan anutan batil.

Mereka meluangkan sepenuh masa untuk mengkaji kelompok ini yang jelas terkeluar dari kelompok Islam yang tulen dan dianggap oleh mereka sebagai salah satu daripada mazhab atau komponen Islam. Anggapan ini adalah kejahilan mereka dalam menilai antara ketulenan Islam dan kesesatan kelompok yang mendokong ajaran para guru yang terseleweng pemikiran mereka dan tersasar dari fahaman yang benar.

orientalis juga begitu menitik beratkan pada penekanan secara tidak langsung program Kristianisasi mereka dengan menubuhkan pelbagai sekolah, kolej, universiti mereka di negara umat Islam. Oleh itu, dapat dilihat dengan jelas bagaimana sebuah Kolej Pengajian Injil ditukarkan kepada Universiti Amerika yang berpengkalan di Kaherah, Beirut, istanbul dan Dubai. Tambahan pula dengan tertubuhnya Sekolah Victoria dan Sekolah Amerika yang merupakan sebuah sekolah menengah di Beirut.

Semasa majlis pembukaan Sekolah Victoria ini, Lord Cromer menjelaskan: “Objektif utama secara langsung ataupun tidak dengan tertubuhnya sekolah ini adalah untuk mendidik anak-anak Islam sebagai jambatan pengetahuan yang menghubungkan kebudayaan Barat dengan tempat kelahiran mereka di sini.” Satu ungkapan halus ini sebenarnya membawa ‘racun’ yang mampu membentuk generasi muda Muslimin yang dijangkiti fenomena tidak dapat mengenali kebudayaan dan juga akidah mereka kelak.[3]

Syeikh Sa’id al-Zahiri menggambarkan mengenai sebahagian pelajar Algeria yang menuntut di sebuah Sekolah kendalian Perancis di kota Algiers. “Mereka secara terang dipesongkan fahaman mereka dengan tidak lagi bersembahyang, berpuasa hatta tidak lagi bertutur bahasa Arab sesama mereka. Bahkan, sebahagian mereka tidak lagi meyakini bahawa al-Quran al-Karim itu adalah wahyu daripada Allah Taala.” [4]


[1] Lihat buku berjudul Kebangkitan dan Bahayanya oleh Muhammad al-Sabbagh (Damsyik, Maktab Islami -1978), hlm. 29-30.
[2] Lihat buku hasil karya Bernard Lewis berjudul The Middle East versus the West: In Encounter. Vol. 21, no.4 Oktober 1963, hlm 21-29.
[3] Lihat buku bertajuk Islam dan Tamadun Barat oleh Muhammad Muhammad Hussain. Cet. 5, (Beirut, Muassasah Risalah – 1982), hlm. 46.
[4] Lihat buku bertajuk Islam Memerlukan Pendakwah dan Penyebar oleh Muhammad al-Sa’id al-Zahiri (Dar al-Kutub al-Jaza`iriyah, Algeria), hlm. 108.

Tiada ulasan: