Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Jumaat, Februari 20, 2009

9.5 Matlamat Orientalis - Tujuan Kebudayaan


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain


Antara misi penting yang dilaksanakan oleh para orientalis adalah dengan menyebarkan kebudayaan Barat yang lebih dikenali sebagai ‘Budaya Kuning’ dengan jalan yang sangat halus. Budaya ini disebarkan secara meluas dan begitu cepat mempengaruhi kepada budaya dan bangsa yang lain. Generasi sesebuah tempat, sanggup menolak budaya tradisi mereka kerana lebih mengutamakan budaya asing yang dianggap lebih ‘maju’ dan moden di benak pemikiran mereka.

Situasi ini dihadapi bukan sahaja di negara kita Malaysia, bahkan di seluruh pelusuk dunia dengan pelbagai budaya yang ‘merosak’ dan mampu ‘melalaikan’. Penggunaan media massa yang begitu meluas sama ada menerusi cetakan dan penyiaran, amat cepat berlaku penularan budaya tersebut ke seluruh ceruk rantau dunia.

Antara kejayaan misi mereka yang boleh dilihat pada hari ini adalah berteraskan kepada perluasan bahasa Eropah dan mengenepikan bahasa Arab dan tempatan sekaligus. Bagi setiap negara yang pernah dijajah, mereka akan mengutamakan bahasa penjajah mereka dalam apa jua keadaan, bukan sahaja di bidang pentadbiran dan pengurusan, malahan hingga dibawa pulang ke rumah. Generasi penjajah yang mengutamakan bahasa asing dan meminggirkan bahasa ibunda mereka sendiri, begitu ‘berbangga’ jika anak-anak mereka mampu bertutur dengan fasih bahasa tersebut sekalipun tergagap-gagap bercakap bahasa ibundanya sendiri.

Keutamaan itu diberikan dengan sepenuh jiwa dan raga kepada pengamalan bahasa asing untuk mencapai kemajuan dan kemodenan. Sebaliknya, bahasa adat dan agama dipinggir dan terus dibuang ke tepi. Hal ini berlaku di setiap negara umat Islam, bahasa Arab dibuang dan ‘diperangi’ habis-habisan. Kejayaan meminggirkan bahasa ini akan mencetuskan perubahan baru dengan wujudnya fenomena masyarakat yang tidak memahami agama dan ajaran akidahnya sendiri. Golongan ini mudah dibentuk dan mengikut acuan telunjuk Barat.

Maka, jadilah negara Arab dan negara umat Islam bagaikan cerminan negara Barat dari satu aspek. Tetapi pada aspek yang lain, mereka kehilangan jati diri, identiti bangsa, ketamadunan dan adat tradisi mereka sendiri. Mereka kelihatan asing di negara sendiri. Para orientalis yang melihat ruangan ini, mengambil sepenuh kesempatan yang ada untuk ‘mempergunakannya’.

Lalu mereka menubuhkan pusat-pusat Dakwah Kristianisasi di seluruh negeri umat Islam yang menyebarkan kebudayaan dan gaya pemikiran di kalangan para pelajar yang menuntut di institusi tersebut. Hal ini pernah difikirkan oleh Napoleon, ketika dia meminta dari penguasa yang dilantiknya di Mesir agar menghantar kepadanya 500 orang para pemimpin daerah dan suku Mesir untuk tinggal bersamanya di Perancis beberapa lama. Apabila sampai di sana, “Mereka semua menyaksikan satu umat yang hebat (bangsa Perancis) dan begitu terpengaruh dengan adat dan bahasa kami. Sebaik sahaja mereka pulang ke Mesir, mereka menjadikan kami sebahagian dari kehidupan mereka bagaikan satu pasukan yang bakal dianggotai oleh orang lain.” [1]


Hasrat Napoleon tidak terhenti setakat itu sahaja, apabila Muhamad Ali Basha menghantar delegasi dari kalangan pemuda Mesir yang diketuai oleh Rifaat Raf’at al-Thahthawi ke Perancis. Mahmud Syakir memberikan komentarnya mengenai mereka: “Mereka ini begitu terpesona dengan mengikuti setiap gaya bangsa Perancis tersebut daripada aspek bahasa dan adatnya. Sebaik sahaja pulang ke Mesir, mereka adalah satu kelompok tiruan dari Perancis. Sepanjang masa mereka hanya membesar dan mengejar pangkat sama ada kecil mahupun besar. Pengaruh yang dihidapi oleh mereka itu merupakan satu wabak dalam usaha membina sebuah masyarakat dengan menyebarkan ideologi yang mereka dapatinya di sana ke atas bangsa Islam di Mesir…” [2]


Golongan orientalis Barat ini begitu menekankan aspek kebudayaan sebagai satu sarana dalam memesongkan ideologi pemikiran sesebuah bangsa dengan pelbagai teknik dan taktik. Hal ini dijelaskan ringkas oleh Sayyid Muhamad al-Syahid sepertimana berikut:


a) Pendidikan yang diberikan tanpa sebarang manhaj (metod) yang kemas dan apa sahaja sumber boleh diambil dari apa yang difikirkan ia adalah sesuatu yang ilmiah.


b) Media massa digunakan sepenuhnya seperti filem, televisyen dan sebagainya yang dapat memberi kesan secara tidak langsung.[3]



[1] Lihat buku Mahmud Syakir berjudul Risalah Pada Jalan ke Arah Kebudayaan Kami (Jeddah, 1987), hlm. 108
[2] Ibid, hlm. 141.
[3] Lihat buku Sayyid Muhamad al-Syahid berjudul Kembara Fikir Islami: dari Berpengaruh kepada Gawat. (Beirut, 1994), hlm. 181.

Selasa, Februari 10, 2009

9.4 Matlamat Orientalis - Tujuan Politik Penjajahan

Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Orientalis menggunakan kajian mereka untuk menguasai politik dan melaksanakan program penjajahan yang dilakukan oleh blok negara-negara Eropah dari dulu hingga kini. Syeikh Muhamad Syakir sendiri menyebutkan: “Propaganda penting yang dibawa oleh kaum Kristian ini adalah dengan membentangkan maklumat yang begitu luas dan terperinci tentang negara-negara yang ingin dijajah oleh negara Barat untuk mendapatkan penguasaan ke atas kekayaan dan kemewahan yang berada di dalamnya.”

Antara bentuk ‘cengkaman’ mereka yang dapat dinilai daripada aspek pengetahuan terperinci mereka terhadap umat Islam ialah dengan melemahkan semangat persaudaraan sesama umat Islam dengan strategi memecah belah umat bagi memudahkan umat Islam terus dikuasai. Pemecahan tersebut dilakukan dengan menghidupkan unsur fanatik perkauman, kedaerahan dan kebangsaan (nasionalisme).

Mereka menekankan budaya etnik tertentu dan menghidupkan bahasa etnik di kalangan Muslim bukan Arab seperti peminggiran bangsa Turki kepada tulisan Arab hingga kini, peminggiran bangsa Melayu di Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand dan Selatan Filipina terhadap penggunaan tulisan Jawi, kaum Barbar Amazigh di bahagian Utara Afrika yang cuba mengembalikan dialek dan tulisan mereka dan menolak penggunaan bahasa dan tulisan Arab serta beberapa bangsa lain yang mengalami nasib yang sama, seperti Turkmen, Kurdish, Uzbek, Qibti, Uighur dan sebagainya.

Bagi negara Islam yang mempunyai penduduk Arab pula, mereka ditekankan dengan dialek Arab 'Amiyyah atau Darijah (bahasa pasar) dengan lebih meluas di kalangan mereka. Pada penghujung kurun ke-20 di Maghribi, seorang orientalis yang berasal dari Skandinavia pernah mengeluarkan majalah setiap dua bulan yang menggunakan dialek Darijah Maghribiyyah (bahasa pasar Maghribi dan Algeria) dengan pembiayaan daripada wang sakunya sendiri. Di samping itu, mereka turut mengubah adat istiadat yang diamalkan oleh penduduk tempatan dengan menyogok perkara-perkara yang menjadi larangan menurut adat dan agama atas nama ‘kemodenan’.

Pada masa tersebut, para pegawai dari kalangan anak tempatan yang bekerja di bawah pentadbiran penjajah di negara-negara umat Islam telah diarahkan untuk mempelajari bahasa asing iaitu bahasa penjajah. Alasan mereka adalah untuk membuatkan para pegawai tempatan ini lebih memahami kebudayaan dan agama pihak penjajah. Namun, tujuan utamanya agar mereka mudah dipengaruhi dan dikuasai atas nama ‘pemodenan kebudayaan’ daripada terus dicengkam dengan adat dan tradisi kuno serta lapuk yang telah dimamah usia.

Anak tempatan yang di‘racun’ mindanya, para pegawai penjajah dan golongan orientalis sama-sama bersekongkol dan bekerjasama dalam mencapai misi utama mereka. Mereka saling memberikan info maklumat agar sistem penjajahan itu tetap berterusan tanpa sebarang ancaman dan penentangan yang bakal menggugat kepentingan mereka di negara yang mereka kuasai.

Kerjasama yang begitu erat di kalangan pegawai penjajah dan golongan orientalis yang dilantik menjadi pegawai koloni penjajah berterusan beberapa lama. Mereka telah ditugaskan untuk membuat kajian tentang hal ehwal ketimuran dari aspek bahasa, budaya, sejarah, politik dan juga ekonomi di kawasan tersebut.

Contohnya, seorang orientalis dari Britain telah menghasilkan sebuah buku setebal 14 jilid dengan judul “Panduan Negara Arab Teluk: Geografi dan Sejarah”. Segala maklumat ini hanya boleh diperolehi oleh para pegawai yang bertugas dengan Kementerian Imperial. Malahan, jawatan tersebut tidak akan diberikan kecuali kepada mereka yang mempunyai pengetahuan mengenai selok belok kawasan setempat yang mana beliau ditugaskan.

Masih lagi berterusan antara perkaitan kajian Arab-Islam dan Imperialis Barat hingga ke hari ini, meskipun hanya terdapat segelintir sahaja para pengkaji Barat yang mempertahankan dasar keilmuan dalam mengkaji dunia timur, khususnya dunia Islam. Bukti penting yang menunjukkan perkaitan ini adalah dengan pengasasan Kolej Pengajian Timur dan Afrika di Universiti London yang dibangunkan atas cadangan daripada salah seorang anggota parlimen Britain.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, kerajaan Briatin mula mendapati kepentingan mereka di dunia Islam kian terhakis. Oleh itu, mereka perlu menekankan Pengajian Arab Islam dalam bentuk yang lain, lalu Kerajaan Britain menubuhkan sebuah fakulti yang mendapat tajaan daripada pihak kerajaan dengan dipimpin oleh Earl of Scarbrough bagi membuat kajian tentang senario pengajian Arab-Islam di Universiti Britain. Fakulti ini meletakkan kenyataan mengenai kepentingan kajian yang dibentangkan serta beberapa cadangan untuk memperbaiki serta meneruskan lagi kajian ini.[1]

Para tahun 1961, Kerajaan Britain telah menubuhkan fakulti lain yang diketuai pula oleh Sir William Hayter bagi kajian yang lebih terperinci. Fakulti ini telah membiayai sebilangan besar para pengkaji yang berkepakaran di bidang ini. Mereka yang berada di jurusan khusus bagi Pengajian Arab-Islam di Universiti Britain saling melawat antara satu sama lain di beberapa belas buah universiti di Amerika dan dua buah universiti di Kanada.

Lawatan mereka ke Amerika Syarikat adalah bertujuan untuk mengetahui sejauh manakah perkembangan yang berlaku di kalangan masyarakat Amerika di lapangan kajian ini. Kesemua kos perbelanjaan di bidang ini telah ditanggung dan dibiayai sepenuhnya oleh Badan korporat Rockefeller dan Ford.[2]

Apa yang jelas mengenai hubungan Pengajian Arab-Islam dengan misi politik Imperialis selepas kemerosotan misi penjajahan dari aspek ketenteraan, kerajaan Amerika masih lagi menyumbangkan dana khusus kepada beberapa buah pusat Pengajian Arab-Islam di beberapa buah universiti Amerika. Sesetengah universiti tersebut diberikan sumbangan dana sepenuhnya dan sebahagian lagi diberikan dalam bentuk sebahagian sahaja, bersesuaian dengan kajian yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Amerika dan misi politiknya.[3]

Pihak Kongres Amerika pernah menjemput secara khusus untuk Biro Kementerian Luar Negara Amerika, beberapa orang pensyarah universiti, sarjana, para pengkaji dan pakar yang berkaitan dengan Pengajian Arab-Islam untuk membentangkan natijah setiap kajian mereka. Mereka juga diberi peluang untuk menyampaikan syarahan, membentangkan kertas kerja dan berdialog dengan anggota Kongres. Pihak Kongres sendiri telah mengedarkan keputusan perbincangan yang dijalankan dengan kawalan rapi dan begitu terhad di kalangan para pentadbirnya, demi kepentingan ahli politik Amerika.[4]


[1] Lihat Report of The Interdepartmental Commission of Inquiry of Oriental, Slavonic, European and African Studies (London, 1947).
[2] Lihat Report of the Sub-Committee on Oriental, Slavonic, East European and African Studies (London,1961).
[3] Lihat Moroe Berger, Middle Eastern And North African Studies : Development and Needs. Dalam artikel daripada buletin yang diterbitkan oleh Middle East Studies Association, Vol.1. No.2, bertarikh 15 November 1967.
[4] Contoh ini boleh dilihat daripada catatan Perhimpunan Kongres pada musim panas tahun 1985 yang mencapai 442 halaman yang dibentangkan oleh Dr. Ahmad Khidr Ibrahim dengan terjemahan sebahagian daripadanya dan diterbitkan di dalam Majalah Masyarakat Kuwait sebelum peristiwa Penaklukan Iraq ke atas Kuwait.