Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Jumaat, Februari 20, 2009

9.5 Matlamat Orientalis - Tujuan Kebudayaan


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain


Antara misi penting yang dilaksanakan oleh para orientalis adalah dengan menyebarkan kebudayaan Barat yang lebih dikenali sebagai ‘Budaya Kuning’ dengan jalan yang sangat halus. Budaya ini disebarkan secara meluas dan begitu cepat mempengaruhi kepada budaya dan bangsa yang lain. Generasi sesebuah tempat, sanggup menolak budaya tradisi mereka kerana lebih mengutamakan budaya asing yang dianggap lebih ‘maju’ dan moden di benak pemikiran mereka.

Situasi ini dihadapi bukan sahaja di negara kita Malaysia, bahkan di seluruh pelusuk dunia dengan pelbagai budaya yang ‘merosak’ dan mampu ‘melalaikan’. Penggunaan media massa yang begitu meluas sama ada menerusi cetakan dan penyiaran, amat cepat berlaku penularan budaya tersebut ke seluruh ceruk rantau dunia.

Antara kejayaan misi mereka yang boleh dilihat pada hari ini adalah berteraskan kepada perluasan bahasa Eropah dan mengenepikan bahasa Arab dan tempatan sekaligus. Bagi setiap negara yang pernah dijajah, mereka akan mengutamakan bahasa penjajah mereka dalam apa jua keadaan, bukan sahaja di bidang pentadbiran dan pengurusan, malahan hingga dibawa pulang ke rumah. Generasi penjajah yang mengutamakan bahasa asing dan meminggirkan bahasa ibunda mereka sendiri, begitu ‘berbangga’ jika anak-anak mereka mampu bertutur dengan fasih bahasa tersebut sekalipun tergagap-gagap bercakap bahasa ibundanya sendiri.

Keutamaan itu diberikan dengan sepenuh jiwa dan raga kepada pengamalan bahasa asing untuk mencapai kemajuan dan kemodenan. Sebaliknya, bahasa adat dan agama dipinggir dan terus dibuang ke tepi. Hal ini berlaku di setiap negara umat Islam, bahasa Arab dibuang dan ‘diperangi’ habis-habisan. Kejayaan meminggirkan bahasa ini akan mencetuskan perubahan baru dengan wujudnya fenomena masyarakat yang tidak memahami agama dan ajaran akidahnya sendiri. Golongan ini mudah dibentuk dan mengikut acuan telunjuk Barat.

Maka, jadilah negara Arab dan negara umat Islam bagaikan cerminan negara Barat dari satu aspek. Tetapi pada aspek yang lain, mereka kehilangan jati diri, identiti bangsa, ketamadunan dan adat tradisi mereka sendiri. Mereka kelihatan asing di negara sendiri. Para orientalis yang melihat ruangan ini, mengambil sepenuh kesempatan yang ada untuk ‘mempergunakannya’.

Lalu mereka menubuhkan pusat-pusat Dakwah Kristianisasi di seluruh negeri umat Islam yang menyebarkan kebudayaan dan gaya pemikiran di kalangan para pelajar yang menuntut di institusi tersebut. Hal ini pernah difikirkan oleh Napoleon, ketika dia meminta dari penguasa yang dilantiknya di Mesir agar menghantar kepadanya 500 orang para pemimpin daerah dan suku Mesir untuk tinggal bersamanya di Perancis beberapa lama. Apabila sampai di sana, “Mereka semua menyaksikan satu umat yang hebat (bangsa Perancis) dan begitu terpengaruh dengan adat dan bahasa kami. Sebaik sahaja mereka pulang ke Mesir, mereka menjadikan kami sebahagian dari kehidupan mereka bagaikan satu pasukan yang bakal dianggotai oleh orang lain.” [1]


Hasrat Napoleon tidak terhenti setakat itu sahaja, apabila Muhamad Ali Basha menghantar delegasi dari kalangan pemuda Mesir yang diketuai oleh Rifaat Raf’at al-Thahthawi ke Perancis. Mahmud Syakir memberikan komentarnya mengenai mereka: “Mereka ini begitu terpesona dengan mengikuti setiap gaya bangsa Perancis tersebut daripada aspek bahasa dan adatnya. Sebaik sahaja pulang ke Mesir, mereka adalah satu kelompok tiruan dari Perancis. Sepanjang masa mereka hanya membesar dan mengejar pangkat sama ada kecil mahupun besar. Pengaruh yang dihidapi oleh mereka itu merupakan satu wabak dalam usaha membina sebuah masyarakat dengan menyebarkan ideologi yang mereka dapatinya di sana ke atas bangsa Islam di Mesir…” [2]


Golongan orientalis Barat ini begitu menekankan aspek kebudayaan sebagai satu sarana dalam memesongkan ideologi pemikiran sesebuah bangsa dengan pelbagai teknik dan taktik. Hal ini dijelaskan ringkas oleh Sayyid Muhamad al-Syahid sepertimana berikut:


a) Pendidikan yang diberikan tanpa sebarang manhaj (metod) yang kemas dan apa sahaja sumber boleh diambil dari apa yang difikirkan ia adalah sesuatu yang ilmiah.


b) Media massa digunakan sepenuhnya seperti filem, televisyen dan sebagainya yang dapat memberi kesan secara tidak langsung.[3]



[1] Lihat buku Mahmud Syakir berjudul Risalah Pada Jalan ke Arah Kebudayaan Kami (Jeddah, 1987), hlm. 108
[2] Ibid, hlm. 141.
[3] Lihat buku Sayyid Muhamad al-Syahid berjudul Kembara Fikir Islami: dari Berpengaruh kepada Gawat. (Beirut, 1994), hlm. 181.

Tiada ulasan: