Perkara yang karut dan bersumberkan pada andaian sendiri ini sering dilakukan oleh para orientalis di dalam kajian mereka. Hal ini disebutkan oleh Dr. al-Dib dalam satu komentarnya:
“Orientalis sering menyebutkan sesuatu yang karut dan tidak mempunyai kaitan dengan situasi semasa dalam kehidupan manusia kini, pada sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku hanya berdasarkan andaian mereka. Malahan mereka pasti akan menghuraikannya berlandaskan hipotesis atau kepakaran mereka secara khusus dalam situasi yang berlaku dengan kehidupan mereka dan masyarakat mereka sehari-hari.” [1]
Misalnya, mereka menyesuaikan pemilihan para pemerintah sebagaimana situasi kehidupan masyarakat Barat yang menunjukkan pertikaian mereka dalam pemilihan sesebuah parti pemerintah dan calon pemimpin berdasarkan faktor masa kini.
Mereka menjadikan situasi ini seperti sesebuah pilihanraya dan wujudnya pemilihan calon pemimpin untuk disokong dan ditentang. Ini hanya pada teori sahaja, sedangkan pada praktikalnya yang berlaku amat berlainan sekali bagi golongan yang memiliki wang dan harta di negara Barat.
Mereka ini mampu membeli undi para pengundi agar memilih mereka dengan kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki. Hal ini memaparkan betapa teruknya keadaan yang berlaku sehingga diterbitkan sebuah buku yang pernah menjadi buku ‘terlaris’ di pasaran dunia Barat yang berjudul “Membeli Pemimpin” dan buku yang lain bertajuk “Mencipta Pemimpin”.
Lalu mereka menggarapkan cerita sebegini di dalam kisah sejarah berkaitan dengan bai’ah pelantikan Abu Bakar al-Siddiq sebagai pengganti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan gambaran yang samar.
Mereka menyatakan bahawa beliau mendapatkan jawatan tersebut dengan hasil ‘penipuan’ untuk menguasai kepimpinan umat Islam di kala itu. Bahkan, mereka turut membuat andaian bahawa al-Siddiq telah merancang untuk mendapatkan jawatan tersebut dengan dua orang sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang lain.
Sedangkan bagi pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menetapkan bahawa para sahabatb adalah golongan yang mendapat ‘kemuliaan’ selepas para nabi dan rasul. Kelompok orientalis ini sedaya upaya men‘jelas’kan Abu Bakar al-Siddiq, ‘Umar dan Abu ‘Ubaidah ‘Amir bin al-Jarrah telah bersama-sama merancang dan berpakat untuk mengambil alih pucuk kepimpinan bersilih ganti sesama mereka.
Dakwaan tidak berasas ini disebarkan di dalam buku-buku karangan mereka, di samping kenyataan mereka yang mendakwa bahawa golongan Munafik ini adalah dilabelkan sebagai golongan ‘pembangkang’ di dalam senario politik Islam di era Nabi Muhammad dan juga para sahabat.
Pelbagai lagi kisah yang disebutkan di dalam buku-buku karya mereka dengan pelbagai fakta yang menyeleweng dan diguna pakai oleh para penulis Islam sendiri. Justeru itu, perkara ini memaparkan ‘perancangan jahat’ dan mempunyai ‘racun berbisa’ daripada pihak mereka selepas melakukan kajian yang didakwa berteraskan akademik dan begitu ilmiah untuk diguna pakai oleh seluruh masyarakat dunia. [2]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan