Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Sabtu, Januari 16, 2010

KAEDAH ASAS ORIENTALIS (3)

Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

iv) Sering Bekerjasama Sesama Mereka.

Para orientalis sering melakukan kerjasama di antara mereka dalam pelbagai lapangan, sama ada dalam proses pembelajaran dan membentangkan sebarang kertas kerja di dalam sesebuah seminar atau perhimpunan yang diadakan. Mereka juga secara sukarela untuk menjadi pensyarah pelawat yang sering berkunjung ke serata kuliah universiti di seluruh Eropah untuk mendidik para pelajar dan bertemu dengan para pensyarahnya. Semua ini dilakukan adalah untuk mewujudkan para pelajar yang berkemahiran dan mampu meneruskan agenda mereka dan objektif perjuangan mereka.


Mereka berusaha bersama dalam berkongsi tenaga dan kepakaran bagi menjayakan sesebuah konvensyen, seminar akademik dan kursus yang berkaitan. Usaha ini dapat dilihat daripada kerjasama mereka dalam merealisasikan penerbitan karya kajian mereka dan disebarkan di serata Eropah hingga ke Amerika. Begitu juga dengan kerjasama dalam usaha menjalinkan hubungan akademik sesama mereka hingga ke tahap menghulurkan dermasiswa bagi program pertukaran pelajar di kedua-dua benua bagi mencapai misi Orientalisme. Bantuan kewangan ini dihulurkan oleh sesetengah badan kebajikan yang terdapat di Amerika dan Eropah dengan diberikan kepada para pelajarnya di mana sahaja mereka berada.

v) Bersikap Prihatin Sesama Mereka.

Sikap prihatin di kalangan orientalis juga jelas tercermin daripada usaha yang mereka lakukan. Segala kesungguhan dalam menyampaikan maklumat dan panduan berkaitan dengan apa yang mereka miliki, dilakukan dengan penuh ketekunan. Malahan mereka menganggapkan bahawa ilmu di bidang ini adalah sesuatu yang wajar diwarisi bagi memenuhi keperluan masyarakat Eropah dalam menghadapi kebangkitan Dunia Timur.

vi) Bersikap Fleksibel & Bertolak Ansur Dengan Mereka Yang Tidak Sependapat.

Para orientalis ini begitu fleksibel dan amat bertolak ansur dalam menghadapi bangkangan mereka yang tidak sependapat. Segala pertikaian dan perbalahan yang membawa ke kancah permusuhan dan sengketa, dijauhi dengan cara yang paling baik. Segala tindak balas dan respon negatif cuba dihindari sejauh mungkin.

Lantaran itulah dalam soal rundingan antara negara yang pernah dijajah, kebanyakan usaha kemerdekaan ini tidak berjaya dilakukan kerana sikap para perunding Barat yang kebanyakannya mengetahui bahasa anak tempatan telah berjaya meracuni pemikiran para perunding tersebut dengan bahasa yang indah dan janji manis yang ditaburkan. Mereka tidak akan melakukan kesilapan dengan bersikap melenting dan enggan bertolak ansur.

Akibat daripada strategi ini telah menyebabkan para pemerintah Timur tersungkur di kaki penjajah yang bijak memainkan peranan para orientalis dalam mencapai misi mereka. Kelembutan yang penuh ‘berbisa’ ini merupakan taktik untuk kebaikan jangka pendek dan juga jangka panjang yang sukar diramal oleh sesetengah manusia yang kurang menggunakan akal fikiran mereka.
vii) Sering Menggunakan Kaedah Penipuan Dalam Sesetengah Isu.

Sikap lembut dan penuh toleransi yang diamalkan oleh para orientalis ini cukup memberikan rangsangan dan memperlihatkan kehebatan mereka kepada para pelajarnya. Tidak hairanlah kebanyakan mereka yang terpedaya dengan penglihatan daripada paparan akhlak ini, akan berjuang bermati-matian dalam menegakkan ‘ajaran’ gurunya apabila pulang ke tanah air kelak.
Sedangkan hal ini merupakan satu taktik ‘penipuan’ oleh para orientalis dalam mengaburi mata setiap pelajarnya.
Modus operandi ini diguna pakai oleh mereka sejak berkurun lampau dan ternyata berjaya mempengaruhi sebahagian besar para pelajarnya. Namun pembohongan yang dilaksanakan ini adalah demi mencapai objektif mereka, kerana mereka tidak perlu bersikap warak terutamanya dalam usaha menjalankan sebarang rundingan dengan golongan yang bukan terdiri daripada bangsa mereka seperti umat Islam dan bangsa Timur.
Hal ini juga yang berjaya dilakukan dalam menanam keyakinan kepada para pelajar Islam yang menuntut ilmu pengajian Islam di kebanyakan universiti di sekitar Eropah dan Amerika di tangan mereka.

Tiada ulasan: