Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Isnin, April 20, 2009

h) Menimbulkan Penyelewengan Dan Pemalsuan

Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain

Sebahagian orientalis berusaha untuk mewujudkan penyelewengan terhadap kepelbagaian fakta ketamadunan umat Islam. Segala realiti ini wujud dan menjadi ciri keunikan ajaran Islam dan para penganutnya sejak sekian lama. Namun ia dinafikan dengan segenap daya kemampuan yang dimiliki oleh mereka agar tidak tersebar di kalangan bangsa lain yang berada di luar lingkungan ajaran Islam.

Para orientalis ini menafikan sekeras-kerasnya sejarah penyebaran Islam dilakukan dengan cara paling lunak dan amat diplomasi. Mereka turut menolak kesejagatan risalah Islam yang sesuai untuk semua budaya dan etnik. Sebaliknya mereka menyebarkan dakyah bahawa ajaran Islam ini disebar luaskan dengan ‘mata pedang’ dan kekerasan. Segala bentuk keganasan dipaparkan, sekalipun terpaksa mereka-reka ‘jalan’ cerita yang baru sehingga tergadai maruah diri dan dicop sebagai penipu. Bagi mereka, itu semua tidak penting dan perlu dibimbangkan. Apa yang utama adalah mewujudkan keraguan dan kesamaran di minda umat Islam dan ajarannya.

Tidak hairanlah mereka mengengkari fakta kesejagatan Islam yang secara khususnya berkait dengan risalah dan surat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diutuskan kepada parab pemerintah dan pembesar wilayah di luar Semenanjung Tanah Arab ketika itu. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menghantar surat kepada Maharaja Rom iaitu Hercules, pembesar Mesir iaitu al-Muqauqis, pembesar Ethopia atau Habsyah iaitu al-Najasyi (Negus) dan juga pemerintah di wilayah Parsi.

Orientalis seperti Gustav Lobon dalam bukunya berjudul “Sejarah Arab” yang memaparkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang telah mengetahui di kalangan Yahudi dan Kristian terdapat seorang nabi yang diutus khusus kepada bangsa tersebut. Lalu Muhammad yang dilahirkan di kalangan bangsa Arab dan mengetahui keadaan itu telah mendakwa bahawa dirinyalah nabi yang diutuskan tuhan kepada mereka. Lanta beliau menyaring dan meniru sesetengah hukum yang terdapat di dalam kitab panduan Yahudi dan Kristian untuk dijadikan kitabnya yang diturunkan serta sebagai seorang yang boleh diyakini sebagai seorang nabi.


Segala bentuk pemalsuan ini telah dinyatakan oleh Dr. al-Dib yang mengisahkan tentang harta benda al-Zubair bin al-‘Awwam radhiyallahu 'anhu yang diulas oleh Durant mengenai kisah ini, “al-Zubair mempunyai beberapa buah rumah di setiap bandar dan juga seribu kuda yang baik serta 10,000 orang hamba…” Sedangkan apa yang dinyatakan berdasarkan sumber buku Islam yang dipercayai menjelaskan sebagaimana berikut: “al-Zubair mempunyai seribu hamba yang membayar bayaran cukai kepadanya setiap hari. Tetapi beliau langsung tidak memasukkan ke rumahnya walaupun satu dirham kerana beliau bersedekah kesemuanya.”

Apabila dikaji semula oleh Dr. al-Dib berkaitan hal ini, jelas dapat diperhatikan penyelewengan yang dilakukan oleh orientalis ini yang menambahkan dengan seribu kuda yang baik. Kalimah ini diselitkan tanpa sebarang asas dan sumber yang pasti. Seterusnya kisah al-Zubair memberikan sedekah pada keseluruhan hartanya itu tanpa satu dirham pun yang masuk ke rumahnya, tidak dinyatakan langsung kenyataan ini. Adakah ini yang dikatakan amanah akademik?[1]


[1] Lihat tajuk artikel Metod Penulisan Sarjana Barat Terhadap Sejarah Islam oleh ‘Abd al-‘Azhim al-Dib. Majalah al-Ummah, Qatar. Bil. 27, hlm. 115-116.

Tiada ulasan: