Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Isnin, Ogos 31, 2009

KAEDAH ASAS ORIENTALIS (2)

Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

iii) Tidak Kedekut Dalam Melaburkan Wang Untuk Kajian.

Golongan orientalis ini tidak langsung merasa lokek untuk menghabiskan wang bagi melakukan sebarang kajian ilmiah berkaitan sesuatu perkara yang dianggap penting bagi pengetahuan masyarakatnya. Bahkan, segala usaha mereka mendapat bantuan penuh pihak kerajaan Barat dalam apa bentuk saluran yang diperlukan. Mereka dibantu untuk mendirikan institusi swasta atas nama ‘yayasan kebajikan’ yang membolehkan para orientalis ini berupaya untuk mencari bahan yang diperlukan dalam kajian mereka.

Segala bahan rujukan dapat dibeli dan dikumpulkan dengan bantuan pihak kerajaan dan badan swasta yang turut membantu serta perjalanan ke lokasi kajian di sesebuah tempat yang jauh sekitar Timur Tengah dapat dijalankan dengan mudah. Sekiranya lokasi yang dituju itu mempunyai sebarang konflik politik yang sedang berlaku, mereka akan dapat melepasinya dengan bantuan pihak kerajaan dengan diletakkan posisi sebagai pegawai kerajaan dan juga ketua perunding yang disenaraikan sama kedudukannya dengan pegawai kelas atasan.

Setiap kajian yang dapat diselesaikan dengan baik, turut dibantu oleh badan kerajaan dalam usaha mencetak dan menyebarkannya. Hal ini begitu berbeza dengan apa yang berlaku di dunia Timur yang amat mengongkong para pengkaji dalam lapangan kajian akademik. Sedangkan pernah suatu ketika dahulu, umat ini merupakan satu bangsa yang mampu menguasai fungsi keilmuan dan menjadi pusat ketamadunan dunia.

iv) Sering Bekerjasama Sesama Mereka.

Para orientalis sering melakukan kerjasama di antara mereka dalam pelbagai lapangan, sama ada dalam proses pembelajaran dan membentangkan sebarang kertas kerja di dalam sesebuah seminar atau perhimpunan yang diadakan. Mereka juga secara sukarela untuk menjadi pensyarah pelawat yang sering berkunjung ke serata kuliah universiti di seluruh Eropah untuk mendidik para pelajar dan bertemu dengan para pensyarahnya. Semua ini dilakukan adalah untuk mewujudkan para pelajar yang berkemahiran dan mampu meneruskan agenda mereka dan objektif perjuangan mereka.

Mereka berusaha bersama dalam berkongsi tenaga dan kepakaran bagi menjayakan sesebuah konvensyen, seminar akademik dan kursus yang berkaitan. Usaha ini dapat dilihat daripada kerjasama mereka dalam merealisasikan penerbitan karya kajian mereka dan disebarkan di serata Eropah hingga ke Amerika. Begitu juga dengan kerjasama dalam usaha menjalinkan hubungan akademik sesama mereka hingga ke tahap menghulurkan dermasiswa bagi program pertukaran pelajar di kedua-dua benua bagi mencapai misi Orientalisme. Bantuan kewangan ini dihulurkan oleh sesetengah badan kebajikan yang terdapat di Amerika dan Eropah dengan diberikan kepada para pelajarnya di mana sahaja mereka berada.

v) Bersikap Prihatin Sesama Mereka.

Sikap prihatin di kalangan orientalis juga jelas tercermin daripada usaha yang mereka lakukan. Segala kesungguhan dalam menyampaikan maklumat dan panduan berkaitan dengan apa yang mereka miliki, dilakukan dengan penuh ketekunan. Malahan mereka menganggapkan bahawa ilmu di bidang ini adalah sesuatu yang wajar diwarisi bagi memenuhi keperluan masyarakat Eropah dalam menghadapi kebangkitan Dunia Timur.

KAEDAH ASAS ORIENTALIS (1)

Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Antara kaedah asas yang digunakan oleh para orientalis dalam usaha untuk mencapai matlamat mereka, boleh diringkaskan sebagaimana berikut:

i) Ikhlas Dalam Kajian & Melaksanakannya Bersungguh-Sungguh.

Antara perkara yang menjadi tarikan dalam konsep asas bagi seseorang orientalis dalam melaksanakan sebarang kajiannya adalah dari aspek kesungguhan mereka. Keistimewaan ini dapat dilihat daripada ketekunan mereka melakukan kajian penyelidikan dengan begitu ikhlas. Malahan mereka sanggup mengorbankan harta, masa dan tenaga bagi mencapai objektif tersebut.

Hal ini dapat diperhatikan dengan kepelbagaian usaha yang mereka tampilkan dengan penuh kesungguhan seperti melakukan penulisan terhadapa kajian yang telah dilakukan, melaksanakan sebarang bentuk program akademik seperti seminar dan perhimpunan, lawatan sambil belajar dan pelbagai lagi aktiviti yang berkaitan dengan kajian penyelidikan mereka.

ii) Sukakan Kemasyhuran & Berkeinginan Kuat Dalam Mendapat Maklumat.

Orientalis amat sukakan kemasyhuran dan menjadi rujukan utama bagi setiap kajian yang dilakukannya. Tidak hairanlah mereka adalah satu golongan yang begitu berkeinginan kuat untuk mendapatkan sebarang maklumat dalam sesuatu kajian yang dilakukan oleh mereka. Mereka begitu bersungguh dalam mencari maklumat terbaik bagi sesebuah masyarakat dan etnik yang di luar lingkungan mereka.
Mereka akan cuba mencari bahan ilmiah yang terdapat pada satu-satu etnik yang menjadi objektif kajian mereka daripada bahan berbentuk manuskrip, buku dan juga hingga ke batu-batu nesan yang mempunyai tulisan di atasnya. Malahan mereka mengetahui sejarah sesuatu bangsa dan persekitarannya yang menjadi objektif kajian mereka melebihi pengetahuan anak kelahiran tempatan itu sendiri.