Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Rabu, Julai 22, 2009

i) Menggunakan Sumber Yang Tidak Boleh Dipercayai Dari Kalangan Umat Islam


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain


Antara satu kecacatan yang menjadi perkara paling ‘memualkan’ dalam pengajian para orientalis terhadap Islam dan umatnya adalah dengan mengambil sumber yang tidak boleh dipercayai di kalangan umat Islam. Bahkan, mereka akan menjadikan sumber ini sebagai satu sumber asas yang menjadi keutamaan dalam setiap kajian dan penyelidikan mereka. Oleh itu, mereka seringkali merujuk kepada kitab-kitab yang kurang dipercayai seperti kitab karya al-Asfahani berjudul “al-Aghani” sebagai asas rujukan mereka di dalam kajian sejarah Islam dan masyarakatnya.

Begitu juga dengan beberapa lagi sumber rujukan yang sememangnya telah ditolak dan dipinggirkan oleh sebahagian besar ulama dan sarjana Islam. Antara buku yang telah diberikan ‘amaran’ kepada kaum Muslimin daripada membaca dan mengambilnya sebagai rujukan seperti buku-buku sejarah yang telah dihasilkan oleh umat Islam sendiri, antaranya “Sirah Ibn Ishaq”, “Sejarah al-Waqidi”, “Sejarah Abu al-Mikhnaf”, “Pengembaraan Ibn Battuta” dan sebagainya.

Para ulama Islam menolak dari mengambil fakta buku-buku ini kerana berlakunya penyelewengan di dalamnya oleh para penulis tersebut, seperti Ibn Ishaq, al-Waqidi dan Abu al-Mikhnaf yang lebih cenderung kepada Syiah dan terdapat banyak fakta yang mengelirukan di dalamnya serta berat sebelah. Manakala, hasil kerja Ibn Battuta itu pula disebabkan cerita itu mengandungi fakta yang mengelirukan dan penulisan itu ditulis semua oleh penulisnya selepas lebih 20 tahun pengembaraan itu dimulakan. Sedangkan kisah-kisah inilah yang dijadikan sumber utama bagi kajian penyelidikan mereka.