Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Isnin, April 20, 2009

h) Menimbulkan Penyelewengan Dan Pemalsuan

Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain

Sebahagian orientalis berusaha untuk mewujudkan penyelewengan terhadap kepelbagaian fakta ketamadunan umat Islam. Segala realiti ini wujud dan menjadi ciri keunikan ajaran Islam dan para penganutnya sejak sekian lama. Namun ia dinafikan dengan segenap daya kemampuan yang dimiliki oleh mereka agar tidak tersebar di kalangan bangsa lain yang berada di luar lingkungan ajaran Islam.

Para orientalis ini menafikan sekeras-kerasnya sejarah penyebaran Islam dilakukan dengan cara paling lunak dan amat diplomasi. Mereka turut menolak kesejagatan risalah Islam yang sesuai untuk semua budaya dan etnik. Sebaliknya mereka menyebarkan dakyah bahawa ajaran Islam ini disebar luaskan dengan ‘mata pedang’ dan kekerasan. Segala bentuk keganasan dipaparkan, sekalipun terpaksa mereka-reka ‘jalan’ cerita yang baru sehingga tergadai maruah diri dan dicop sebagai penipu. Bagi mereka, itu semua tidak penting dan perlu dibimbangkan. Apa yang utama adalah mewujudkan keraguan dan kesamaran di minda umat Islam dan ajarannya.

Tidak hairanlah mereka mengengkari fakta kesejagatan Islam yang secara khususnya berkait dengan risalah dan surat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam yang diutuskan kepada parab pemerintah dan pembesar wilayah di luar Semenanjung Tanah Arab ketika itu. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menghantar surat kepada Maharaja Rom iaitu Hercules, pembesar Mesir iaitu al-Muqauqis, pembesar Ethopia atau Habsyah iaitu al-Najasyi (Negus) dan juga pemerintah di wilayah Parsi.

Orientalis seperti Gustav Lobon dalam bukunya berjudul “Sejarah Arab” yang memaparkan Nabi Muhammad sebagai seorang yang telah mengetahui di kalangan Yahudi dan Kristian terdapat seorang nabi yang diutus khusus kepada bangsa tersebut. Lalu Muhammad yang dilahirkan di kalangan bangsa Arab dan mengetahui keadaan itu telah mendakwa bahawa dirinyalah nabi yang diutuskan tuhan kepada mereka. Lanta beliau menyaring dan meniru sesetengah hukum yang terdapat di dalam kitab panduan Yahudi dan Kristian untuk dijadikan kitabnya yang diturunkan serta sebagai seorang yang boleh diyakini sebagai seorang nabi.


Segala bentuk pemalsuan ini telah dinyatakan oleh Dr. al-Dib yang mengisahkan tentang harta benda al-Zubair bin al-‘Awwam radhiyallahu 'anhu yang diulas oleh Durant mengenai kisah ini, “al-Zubair mempunyai beberapa buah rumah di setiap bandar dan juga seribu kuda yang baik serta 10,000 orang hamba…” Sedangkan apa yang dinyatakan berdasarkan sumber buku Islam yang dipercayai menjelaskan sebagaimana berikut: “al-Zubair mempunyai seribu hamba yang membayar bayaran cukai kepadanya setiap hari. Tetapi beliau langsung tidak memasukkan ke rumahnya walaupun satu dirham kerana beliau bersedekah kesemuanya.”

Apabila dikaji semula oleh Dr. al-Dib berkaitan hal ini, jelas dapat diperhatikan penyelewengan yang dilakukan oleh orientalis ini yang menambahkan dengan seribu kuda yang baik. Kalimah ini diselitkan tanpa sebarang asas dan sumber yang pasti. Seterusnya kisah al-Zubair memberikan sedekah pada keseluruhan hartanya itu tanpa satu dirham pun yang masuk ke rumahnya, tidak dinyatakan langsung kenyataan ini. Adakah ini yang dikatakan amanah akademik?[1]


[1] Lihat tajuk artikel Metod Penulisan Sarjana Barat Terhadap Sejarah Islam oleh ‘Abd al-‘Azhim al-Dib. Majalah al-Ummah, Qatar. Bil. 27, hlm. 115-116.

Rabu, April 08, 2009

g) Mewujudkan Keraguan Dalam Aspek Sejarah Dan Sunnah

Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Begitu banyak fakta dan info berkaitan dengan Sirah Hidup Nabi Muhammad dan juga Sejarah Dunia Islam yang diberikan fakta songsang dan amat menyeleweng dengan hakikat peristiwa sebenar yang terjadi. Sesetengah fakta itu diputar belitkan dengan baik agar sukar untuk dikenali antara baik dan buruk sesebuah peristiwa tersebut. Mereka sering menulis cerita berkaitan sejarah dengan diselitkan cerita yang bukan dari realiti sebenar, ataupun diselewengkan faktanya atau memutar belitkan dengan kisah-kisah khayalan yang sukar difahami.

Perkara ini merupakan salah satu teknik mereka yang paling berjaya dalam membuatkan masyarakat Islam sendiri merasa ragu-ragu terhadap kebenaran kisah sejarah umat Islam sendiri. Apabila diperhatikan kisah-kisah sebegini, ia memaparkan kisah pelik di kalangan umat Islam sendiri. Keadaan ini menjadi ‘gangguan’ bagi para pemuda Islam memahami serta menerima fakta sejarah agung umat Islam terdahulu.

Kesamaran ini jelas terpapar di antara dua keadaan bagi kisah Mu’awiyah yang diselewengkan di dalam buku-buku sejarah yang memaparkan bahawa beliau adalah seorang ahli politik pembangkang yang cuba merebut jawatan daripada Ali bin Abu Thalib dan menentang kepimpinannya. Situasi ini digunakan oleh setiap guru yang mengajar subjek tersebut kepada anak-anak Islam sejak kecil lagi.

Situasi ini begitu berbeza, apabila mereka ke masjid, kisah pertikaian dan perebutan kuasa di antara Mu’awiyah dan ‘Ali radhiyallahu 'anhuma ini tidak dipaparkan sedemikian. Mereka dinyatakan sebagai salah seorang pemimpin umat Islam dan juga termasuk di kalangan para sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang terkenal.

Dr. Muhammad Fathi ‘Utsman di dalam bukunya ada menyebutkan: “Mereka ini (orientalis) begitu melampau dalam mengisi fakta ada setiap penulisan karya mereka, terutamanya di dalam lapangan Sirah Nabi Muhammad. Mereka menggunakan segala daya usaha yang mereka ada untuk mewujudkan keraguan di dalamnya. Mereka menciptakan keraguan ini bermula daripada nama Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam dan seterusnya. Seandainya mereka mampu untuk mewujudkan keraguan di benak kaum muslimin, pasti mereka akan menjadikan umat Islam ragu-ragu hingga pada kewujudannya…” [1]


[1] Lihat buku Pancaran Cahaya Sejarah Islam oleh Muhammad Fathi Utsman, hlm. 69.

Sabtu, April 04, 2009

f) Huraian Dengan Sesuatu Yang Karut Dan Tiada Kaitan

Oleh: Mohd Fikri bin Che Hussain


Perkara yang karut dan bersumberkan pada andaian sendiri ini sering dilakukan oleh para orientalis di dalam kajian mereka. Hal ini disebutkan oleh Dr. al-Dib dalam satu komentarnya:
“Orientalis sering menyebutkan sesuatu yang karut dan tidak mempunyai kaitan dengan situasi semasa dalam kehidupan manusia kini, pada sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku hanya berdasarkan andaian mereka. Malahan mereka pasti akan menghuraikannya berlandaskan hipotesis atau kepakaran mereka secara khusus dalam situasi yang berlaku dengan kehidupan mereka dan masyarakat mereka sehari-hari.” [1]

Misalnya, mereka menyesuaikan pemilihan para pemerintah sebagaimana situasi kehidupan masyarakat Barat yang menunjukkan pertikaian mereka dalam pemilihan sesebuah parti pemerintah dan calon pemimpin berdasarkan faktor masa kini.
Mereka menjadikan situasi ini seperti sesebuah pilihanraya dan wujudnya pemilihan calon pemimpin untuk disokong dan ditentang. Ini hanya pada teori sahaja, sedangkan pada praktikalnya yang berlaku amat berlainan sekali bagi golongan yang memiliki wang dan harta di negara Barat.

Mereka ini mampu membeli undi para pengundi agar memilih mereka dengan kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki. Hal ini memaparkan betapa teruknya keadaan yang berlaku sehingga diterbitkan sebuah buku yang pernah menjadi buku ‘terlaris’ di pasaran dunia Barat yang berjudul “Membeli Pemimpin” dan buku yang lain bertajuk “Mencipta Pemimpin”.
Lalu mereka menggarapkan cerita sebegini di dalam kisah sejarah berkaitan dengan bai’ah pelantikan Abu Bakar al-Siddiq sebagai pengganti Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan gambaran yang samar.

Mereka menyatakan bahawa beliau mendapatkan jawatan tersebut dengan hasil ‘penipuan’ untuk menguasai kepimpinan umat Islam di kala itu. Bahkan, mereka turut membuat andaian bahawa al-Siddiq telah merancang untuk mendapatkan jawatan tersebut dengan dua orang sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang lain.
Sedangkan bagi pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah menetapkan bahawa para sahabatb adalah golongan yang mendapat ‘kemuliaan’ selepas para nabi dan rasul. Kelompok orientalis ini sedaya upaya men‘jelas’kan Abu Bakar al-Siddiq, ‘Umar dan Abu ‘Ubaidah ‘Amir bin al-Jarrah telah bersama-sama merancang dan berpakat untuk mengambil alih pucuk kepimpinan bersilih ganti sesama mereka.
Dakwaan tidak berasas ini disebarkan di dalam buku-buku karangan mereka, di samping kenyataan mereka yang mendakwa bahawa golongan Munafik ini adalah dilabelkan sebagai golongan ‘pembangkang’ di dalam senario politik Islam di era Nabi Muhammad dan juga para sahabat.

Pelbagai lagi kisah yang disebutkan di dalam buku-buku karya mereka dengan pelbagai fakta yang menyeleweng dan diguna pakai oleh para penulis Islam sendiri. Justeru itu, perkara ini memaparkan ‘perancangan jahat’ dan mempunyai ‘racun berbisa’ daripada pihak mereka selepas melakukan kajian yang didakwa berteraskan akademik dan begitu ilmiah untuk diguna pakai oleh seluruh masyarakat dunia. [2]


[1] Ibid. hlm. 99-100.
[2] Lihat buku Pengajian Sejarah oleh ‘Imad al-Din Khalil, hlm. 167.

Khamis, April 02, 2009

e) Lebih Suka Menurut Hawa Nafsu Dari Fakta Ilmiah


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Kelompok orientalis ini lebih mengutamakan akal fikiran mereka tanpa sebarang fakta ilmiah dalam menanggapi sesuatu perkara tersebut. Betapa banyak kesilapan dan kesalahan fakta sejarah yang telah dilakukan mereka dalam menulis karya berkaitan dengan sejarah Islam dan umatnya.

Sebahagian besar pemerintah dunia Islam dilabelkan sebagai ‘diktator’, contohnya para pemimpin Daulah Utsmaniyah Turki dalam pembukaan wilayah mereka di sekitar Eropah suatu ketika dulu.

Tentangan dan halangan yang dilalui oleh Turki Utsmaniyah untuk ke Eropah, terpaksa direntasi dengan peperangan sebagai jalan penyelesaian utama, telah dianggap ganas dan kejam. Masih berbaki kaum Kristian di sekitar Turki, Syria, Palestin sejak zaman itu hingga kini, bebas mengamalkan agama anutan mereka.

Sedangkan mereka menghapuskan kaum Muslimin dalam sebuah negara seperti yang berlaku di Andalusia sehingga tidak wujud seorang muslim yang bebas mengamalkan agamanya di sana, selama berabad-abad lamanya, tidak pula dianggap kejam?

Berkata Dr. ‘Abd al-‘Azhim al-Dib: “Kaum orientalis memulakan kajian dengan meletakkan matlamat dan batas di hadapannya. Hasil yang akan dicapainya adalah apa yang diterangkan, kemudian diubah dan ditetapkannya semula selepas itu. Bertitik tolak dari situ, segala kesimpulan dan hipotesis yang akan dikeluarkannya akan diambil daripada pendapat sebahagian dari kalangan mereka juga….” [1]


[1] Lihat tajuk artikel Metod Penulisan Sarjana Barat Terhadap Sejarah Islam oleh ‘Abd al-‘Azhim al-Dib. Majalah al-Ummah, Qatar. Bil. 27, hlm. 71.