Tepis Dakyah Orientalis Barat

PUTRAJAYA 19 Disember 2009 - "Dakyah orientalis Barat yang masih berdegil menganggap jihad sebagai jalan untuk menyebar agama Islam ke merata tempat di seluruh dunia perlu ditangani semua umat Islam di dunia." kata Pengerusi Ulama Sedunia Prof. Dr. Yusuf Abdullah Ali Al-Qaradawi dan juga tokoh Maal Hijrah 1431H yang diterimanya dari kerajaan Malaysia. [Utusan Malaysia]

Rabu, Mac 25, 2009

d) Mengutamakan Kajian Suku Arab Minoriti, Pertentangan Yang Wujud, Sejarah Era Jahiliyah Dan Apa Sahaja Sebelum Kedatangan Islam




Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain


Para orientalis amat menitik beratkan kajian yang berkaitan dengan kelompok suku dan kaum minoriti seperti kabilah, aliran mazhab yang pupus serta suku purba yang tidak mempunyai fakta kajian lagi seperti kerajaan Himyar, Ghassan, Palmyra, Tadammur dan sebagainya.

Mereka turut menumpukan kisah pertikaian dan pertelagahan di kalangan umat Islam yang ditimbulkan oleh mereka yang terpengaruh dengan ajaran sesat dan mendokong fahaman politik rosak, seperti kelompok Syiah Isma’iliyah, Druze, Hasyasyin (Assassin) dan juga Qaramithah yang pernah muncul dalam lembaran sejarah Islam.

Kajian berkaitan dengan berhala-berhala jahiliyah, sejarah Arab jahiliyah dan permulaan kedatangan Islam dan era awal kerasulan Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam turut dilakukan. Bahkan, mereka meletakkan kajian tersebut di satu kedudukan yang begitu tinggi dan melebihi dari apa yang sepatutnya.

Mereka juga turut mengumpulkan kisah tentang golongan munafikin di zaman Rasulullah dengan melabelkannya sebagai pihak pembangkang kerana berani memberikan tentangan kepada baginda atau memaparkan permusuhan dengan Allah dan rasul yang diutuskanNya.


Lebih menariknya, sesetengah mereka yang mengkaji perkara yang tidak mempunyai sebarang ‘manfaat’ ini kepada pihak Eropah dan juga umat Islam telah dianugerahkan dengan ijazah kedoktoran cemerlang dari universiti mereka.

Selasa, Mac 24, 2009

c) Mengkaji Perkara Yang Lemah (Dha’if) Dan Syaz Dalam Aspek Periwayatan


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Di dalam hal yang dinyatakan ini, jelas sebagaiman yang diperkatakan oleh Jawwad Ali, “Golongan orientalis ternyata mengambil cerita yang lemah (Dha’if) pada sesetengah perkara dan menghukumkannya agar dapat diterima oleh semua orang. Sekiranya tidak berjaya, mereka akan menyandarkan dengan sokongan cerita Syaz atau suatu berita yang pelik dan boleh dikritik mereka akan menggunakan teknik yang lebih melampau lagi. Mereka mengutamakan hal ini kerana berita Syaz ini adalah satu jalan yang mampu menghidupkan keraguan di jiwa manusia.” [1]

Ini adalah satu strategi yang popular dan sering digunakan oleh mereka setakat yang termampu. Malahan, mereka meneliti setiap buku yang mengumpulkan hadis-hadis terutamanya seperti kitab Kanz al-‘Ummal dan selain buku hadis yang masih tidak terdapat sebarang semakan tentang kesahihan hadis dan takhrij hadis-hadis yang terkandung di dalamnya.

[1] Lihat buku Sejarah Arab dalam Era Islam oleh Jawwad ‘Ali, hlm. 8.

Ahad, Mac 08, 2009

b) Mewujudkan Keraguan Terhadap Kesahihan Hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam


Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain

Kaum orientalis secara umumnya cuba mewujudkan keraguan dari aspek kesahihan sesebuah hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka turut membuat dakwaan bahawa hadis tidak pernah dibukukan dan dipindahkan periwayatannya hanya menerusi pemberitahuan dari mulut ke mulut. Hal ini memberikan anggapan bahawa hadis itu tidak sahih.[1]

Aspek kedua pula dari andaian mereka bahawa hadis itu terlalu banyak kepalsuan di dalamnya dengan rekaan dan ciptaan tokohnya. Mereka juga mendakwa bahawa para ahli Fiqh yang banyak mereka-reka hadis palsu dan menyebarkannya untuk membuatkan pandangan mereka diterima oleh masyarakat, lantas mereka berusaha mencipta dalil yang dapat disandarkan setiap pandangan yang diberikan itu.[2]


[1] Lihat buku Orientalis dan Pengajian Islam oleh ‘Abd al-Qahir Duwad al-‘Ani. (Dar al-Furqan: Amman, 2001). Hlm. 121
[2] Ibid. hlm. 122.

Selasa, Mac 03, 2009

METOD ORIENTALIS



Oleh: Mohd Fikri Bin Che Hussain



Begitu sukar untuk mengumpulkan para orientalis ini di dalam satu kelompok dan dinyatakan pula satu metod mereka yang seiring dengan perubahan masa dan ketika. Malah bertambah sukar untuk menerangkan hasil kaji selidik yang mereka perolehi dari seluruh aspek kajian yang telah dilakukan.
Namun cara paling mudah untuk menjelaskan keseluruhan metod yang diguna pakai oleh sebahagian besar orientalis ini, sejak dari dulu hingga kini dalam mengkaji keilmuan Islam ini dapat dinilai secara umum sahaja, seperti berikut:

a) Mendakwa Agama Islam Berasal Dari Agama Yahudi Dan Kristian

Dakwaan ini begitu banyak didapati di dalam buku-buku karangan mereka berkaitan dengan wahyu yang diturunkan dan juga berkenaan dengan al-Quran al-Karim dan Sunnah. Perkara ini diterangkan oleh Imad al-Din Khalil dari kenyataan Jawwad Ali, “Majoriti orientalis Kristian adalah dari kalangan mereka yang agamawan atau para pelajar lepasan kolej Kristian.


Apabila mereka mengkaji beberapa topik yang menyentuh aspek akidah Islam yang mempu menggoyahkan jiwa mereka. Maka, mereka cuba mengubahnya kepada asas Kristian…”[1]
Begitu juga dengan komentar al-Thibawi dalam kajiannya yang menunjukkan sebilangan orientalis yang bertutur menggunakan bahasa Inggeris berpendapat dengan hal sedemikian seperti Montgomery Watt, Bernard Lewis dan sebagainya.[2]


[1] Lihat buku Pengajian Sejarah oleh ‘Imad al-Din Khalil, hlm. 159.
[2] Lihat buku Orientalis yang Bertutur Menggunakan Bahasa Inggeris oleh Abd al-Lathif al-Thibawi, hlm. 10-13. Terjemahan oleh Qasim al-Samaraii.